MELAKA – Peningkatan kes kemalangan maut membabitkan lori di negeri ini mendorong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mempergiatkan penguatkuasaan, khususnya terhadap kesalahan lebih muatan yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama nahas jalan raya.
Bermula Januari hingga Oktober 2025, Melaka merekodkan 28 kematian melibatkan kemalangan lori, dengan Daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah tertinggi untuk tiga tahun berturut-turut.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, agensi itu kini melaksanakan operasi setiap hari melibatkan Ops Kenderaan Perdagangan, Ops Teknikal, Ops Halangan Kenderaan Berat, Ops Gempur Kenderaan Perdagangan dan terkini Ops Perang Lebih Muatan.
“Statistik menunjukkan sebanyak 3,043 kes lebih muatan dan 4,904 kes teknikal direkodkan tahun lalu. Manakala tahun ini setakat Oktober, sebanyak 2,508 kes lebih muatan dan 2,447 kes teknikal dicatatkan.
“Angka ini dijangka terus meningkat memandangkan jumlah lori berdaftar di Melaka juga bertambah setiap tahun. Oleh itu, penguatkuasaan lebih agresif perlu dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, dakwaan kononnya JPJ terlalu tegas terhadap pemandu lori adalah tidak tepat kerana pihaknya hanya menguatkuasakan undang-undang sedia ada iaitu Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
“Saban hari kita mendengar berita kemalangan melibatkan kenderaan berat sehingga mengakibatkan kematian. Sudah tiba masanya langkah drastik dan agresif diambil bagi mengurangkan kadar kemalangan dan memastikan jalan raya selamat untuk semua pengguna.
“Jadi tidak timbul isu JPJ terlalu tegas. Sejak sekian lama, kenderaan berat sering melakukan pelbagai kesalahan, terutama lebih muatan demi keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan,” jelasnya.
Katanya, lebih muatan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mendorong pelbagai kerosakan teknikal seperti brek gagal, tayar botak dan kenderaan tidak diselenggara dengan baik.
Beliau menegaskan kesalahan lebih muatan kekal sebagai kesalahan tertinggi bagi kenderaan barangan dan JPJ mensasarkan penurunan ketara sebelum akhir 2025.
Ujar beliau, sikap tamak segelintir pemandu yang mengejar trip dan komisen turut menyebabkan mereka sanggup beroperasi dengan muatan berlebihan.
“JPJ juga mengesan trend pemandu cuba mengelak pemeriksaan termasuk mematikan enjin, mematikan GPS dan meninggalkan lori di tepi jalan.
“Ada pemandu yang meninggalkan lori kerana tahu mereka membawa lebih muatan. Ini tindakan tidak bertanggungjawab dan membahayakan pengguna lain,” katanya.
Beliau berkata, pada Oktober dan November 2025 sahaja, tiga pemandu lori telah dikenakan denda RM12,000 oleh mahkamah kerana gagal hadir timbang.
Siti Zarina turut mengingatkan pengusaha lori bahawa mengarahkan pemandu mengelak pemeriksaan boleh menyebabkan syarikat disiasat di bawah Seksyen 234 APAD dan berdepan denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Syarikat juga boleh berdepan tindakan lanjutan seperti penggantungan atau pembatalan permit dan lesen pengendali oleh APAD.
Katanya lagi, JPJ turut mendapati kadar pematuhan pemasangan Speed Limitation Device (SLD) masih rendah walaupun Fasa 1 telah bermula Oktober 2025.
“Pemasangan SLD adalah wajib. Fasa 2 bermula Januari 2026 dan fasa ketiga Julai 2026. Kegagalan mematuhi syarat ini boleh menyebabkan syarikat didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun,” tegasnya.
Siti Zarina menegaskan usaha JPJ bukan untuk menyusahkan pengusaha atau pemandu lori tetapi demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Kami tidak berkompromi dengan mana-mana syarikat atau pemandu yang melakukan kesalahan.
“Patuhilah had berat dibenarkan dan pastikan pemandu diberi latihan mencukupi. Keselamatan nyawa orang ramai adalah keutamaan kami,” katanya.