PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa bahawa tindakan Anwar dibuat tanpa mandat penuh daripada pihak-pihak yang sepatutnya mewakili Persekutuan Malaysia.
“Perjanjian itu sebenarnya tidak sah kerana beliau (Anwar) bukan satu-satunya pihak yang mewakili Persekutuan.
“Sepatutnya, perjanjian seperti ini memerlukan persetujuan empat entiti utama iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat, Majlis Raja-Raja, dan badan eksekutif (kerajaan),” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, di sini pada Selasa.
Dr Mahathir berkata, persetujuan daripada keempat-empat bahagian itu bagaimanapun tidak diperoleh, sekali gus menjadikan perjanjian tersebut tidak sah dari segi perlembagaan.
“Dokumen perjanjian itu mengandungi 400 muka surat, namun tidak pernah didedahkan kepada umum.
“Terdapat banyak klausa yang menyebut bahawa kuasa negara kita diserahkan kepada Amerika Syarikat, di mana segala tindakan kita perlu dirujuk kepada mereka, dan mereka pula yang menentukan boleh atau tidak dilakukan,” katanya.
Mengulas mengenai status dan kedudukan Bumiputera dalam perjanjian itu, Dr Mahathir menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak disebut secara langsung.
“Dalam perjanjian ini, segala keistimewaan Bumiputera tidak boleh dikenakan terhadap barangan atau dagangan Amerika Syarikat.
“Maksudnya, kuasa Amerika Syarikat sudah sampai ke tahap menindakkan kuasa istimewa Bumiputera, dan apa-apa layanan kepada Bumiputera mesti turut diberikan kepada Amerika Syarikat,” katanya.
Dr Mahathir turut menyatakan bahawa polis perlu menyiasat sama ada Anwar melanggar undang-undang negara atau Perlembagaan.
“Difahamkan, lebih 139 laporan polis telah dibuat oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara berhubung perkara sama,” katanya.
ART yang ditandatangani oleh Anwar dan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump, pada 26 Oktober lalu antara lain bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi kedua-dua negara, selain pelarasan tarif serta memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menolak dakwaan bahawa ART akan menghapuskan keutamaan Bumiputera dalam dasar kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau turut mencabar Dr Mahathir supaya mengemukakan klausa khusus dalam perjanjian yang didakwa memberi syarikat Amerika Syarikat keistimewaan setara dengan Bumiputera di Malaysia.
Menurut Tengku Zafrul, tafsiran bahawa Artikel 6.2 perjanjian tersebut mewajibkan syarikat milik kerajaan membuat keputusan hanya berdasarkan ‘pertimbangan komersial’ sehingga menafikan dasar Bumiputera adalah tidak tepat.