AYER KEROH – Seorang mudir sebuah madrasah di Tumpat, Kelantan yang dikenali sebagai Abuya berdepan pertuduhan ke-21 membabitkan kes amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.
Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, dalam daerah Melaka Tengah, pada 4 Ogos 2025.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Irwan Sumadi, merayu jumlah jaminan direndahkan atas alasan anak guamnya yang juga bapa kepada empat anak itu menghadapi masalah kesihatan.
Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh sebelum ini telah berdepan 18 pertuduhan di tiga negeri, iaitu Kelantan, Terengganu dan Perak, antara 11 September hingga 17 Oktober lalu, dengan keseluruhan jumlah jaminan berjumlah RM93,000.
Selepas meneliti fakta kes dan rayuan, mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan serta menetapkan 5 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.