Seorang maut, enam cedera nahas babit tiga kenderaan

Iklan
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kejadian kemalangan di KM13 Jalan Cameron Highlands–Simpang Pulai, di sini, petang Ahad.

IPOH – Seorang pemandu maut manakala enam yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM13 Jalan Cameron Highlands–Simpang Pulai di sini pada Ahad.

Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.04 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai tiba di lokasi pada jam 3.24 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah Nissan Serena yang dinaiki tiga mangsa, sebuah Perodua Myvi dinaiki lima mangsa serta sebuah Mitsubishi Expander IIUM 7113 dengan enam penumpang.

"Dalam kejadian itu, pemandu Perodua Myvi, seorang lelaki berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat penumpang kenderaan berkenaan mengalami kecederaan terdiri dua cedera parah dan dua cedera ringan.

Iklan

"Bagi kenderaan Nissan Serena pula, seorang lelaki berusia lingkungan 60-an dilaporkan selamat, manakala dua penumpang lain masing-masing cedera parah dan cedera ringan.

"Semua enam penumpang Mitsubishi Expander tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Shazlean berkata, komander operasi melaksanakan penilaian awal sebelum menjalankan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit serta memberi rawatan awal di lokasi.

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

"Operasi berjaya dikawal pada jam 3.50 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 5.40 petang,” katanya.

Tambah beliau, operasi melibatkan lapan anggota dengan kekuatan jentera pemadaman (FRT) dan van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).