KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Indonesia meluahkan rasa terharu menerima sebungkus nasi lemak selepas selesai menunaikan solat Subuh di sebuah masjid, baru-baru ini.
Menerusi video yang dikongsikan @ceritariki di TikTok, lelaki itu dilihat tersentuh hati apabila diberikan makanan kegemarannya untuk sarapan pagi.
"Solat subuh di Malaysia pulangnya dapat sarapan pagi.
"Terharu sangat kerana ini kesukaan saya, nasi lemak,” katanya sambil menahan sebak di dalam video yang dimuat naik pada Jumaat.
Sebelum itu, individu sama turut berkongsi rasa kagumnya apabila solat Subuh di sebuah masjid terasa seperti solat Jumaat.
"Parkir penuh, kereta penuh. Luar biasa berbondong-bondong ke masjid," katanya lagi.
Video yang memperoleh 239,000 tontonan bersama 10,400 tanda suka menerima pelbagai reaksi dan berkongsi pengalaman.
"Kalau Subuh di MADAD Sungai Petani, dapat duit kanak-kanak dan mak ayah boleh tinggalkan anak dan terus ke tempat kerja. Akan ada bas MADAD akan hantar anak-anak ke sekolah terus," kata pemilik akaun Ankha.
"Masjid atau surau di Malaysia sentiasa ada orang bersedekah atau infaq," komen Mieshah
"Ada sesetengah tempat, budak budak yang pergi sembahyang Subuh disedekahkan duit RM5 seorang, jadi ramai budak-budak seronok bangun pagi-pagi pergi sembahyang Subuh," kata pengguna, Ashikin aris.