KOTA KINABALU – Kerajaan Perpaduan Sabah yang baharu terbentuk diharap dapat memberi fokus kepada isu hak 40 peratus hasil cukai negeri, penambahbaikan infrastruktur serta jalan raya luar bandar, peluang pekerjaan, penyediaan rumah kos rendah dan rumah transit.
Parasin Oinung, 45, menegaskan bahawa tuntutan 40 peratus hasil cukai perlu menjadi keutamaan kerajaan Sabah yang baharu.
"Harapan saya untuk kerajaan baharu ini ialah supaya mereka dapat fokus kepada tuntutan 40 peratus yang kita sudah menangi di mahkamah, agar rundingan dengan kerajaan Persekutuan dapat dijalankan dengan lancar dan diberikan perhatian sewajarnya.
"Kerana itu banyak memberi keuntungan kepada negeri kita, atau wilayah kita di Sabah ini. Saya juga berharap infrastruktur, terutama di luar bandar, dapat dipertingkatkan.
"Setakat ini kita memang ada Lebuhraya Pan Borneo tetapi jalan sedia ada tidak begitu diberi perhatian,” katanya.
Tambahnya, penyelenggaraan jalan yang sedia ada amat penting kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Sementara itu, Samy Nathan, 60, berkata, kerajaan negeri perlu menunaikan manifesto pilihan raya, dan pada masa sama memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Satu perkara yang saya harap, kerajaan baharu yang terbentuk ini perlu menunaikan janji-janji yang telah mereka nyatakan.
"Terutamanya MA63, sudah terlalu lama dan saya rasa inilah masanya. Rakyat Sabah pun menunggu untuk melihat janji ini ditunaikan.
"Kalau kerajaan ini mampu laksanakan MA63, saya rasa mereka berpeluang menang lagi pada pilihan raya akan datang kerana rakyat akan percaya," katanya.
Dalam pada itu, Rimon Gunting, 56, berharap kerajaan Sabah yang baharu dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Kerajaan kita yang baharu ini, kita minta mereka wujudkan banyak peluang pekerjaan.
"Khususnya untuk penganggur lulusan universiti. Ramai yang merantau ke Kuala Lumpur dan tempat lain.
"Jalan raya juga banyak berlubang, banyak kemalangan. Masuk lubang, parit tidak diselenggara. Hujan satu jam pun sudah banjir, macam mana mahu limpas?” katanya.
Sementara itu, Nurayzah Eddy, 22, berharap Kabinet Sabah yang baharu mempertimbangkan usaha mewujudkan lebih banyak rumah kos rendah dan rumah transit di bandar-bandar utama.
"Cadangan saya, kalau boleh kerajaan wujudkan lebih banyak rumah kos rendah, terutamanya untuk pekerja yang berhijrah ke bandar.
"Sekurang-kurangnya kalau ada rumah kos rendah atau rumah transit, walaupun sekarang gaji asas RM1,700, selepas tolak sewa rumah dan lain-lain, baki tidak seberapa.
"Dengan adanya rumah kos rendah, ia sedikit sebanyak dapat membantu para pekerja," katanya.
Pada Ahad, Kerajaan Perpaduan Sabah terbentuk selepas Ketua Menteri Sabah mengangkat sumpah manakala barisan Menteri Kabinet Sabah mula dilantik dan turut mengangkat sumpah.