PASIR MAS – Penduduk di lapan kampung dalam Mukim Pohon Tanjung di sini berdepan banjir termenung yang lambat surut meskipun hujan sudah berhenti sejak tiga hari lalu.
Kampung terbabit ialah Bakong, Pohon Tanjung, Gading, Banggol Poyok, Siram, Merbau, Kubang Pak Hitam dan Cenerai yang masih digenangi air pada paras 0.4 meter hingga lebih satu meter.
Di Kampung Kubang Pak Hitam, suri rumah Khadijah Daud, 54, berkata air naik sehingga hampir dua meter di pekarangan rumahnya yang dibina dengan tiang tinggi sehingga memaksa beliau bersama suami dan dua anak berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Dua hari lepas saya keluar guna bot, meredah air di tengah bendang hampir tiga kilometer untuk sampai ke PPS,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjung di sini pada Isnin.
Menurut ibu lima anak itu, keadaan banjir termenung tersebut berlaku apabila air dari Sungai Lanchang, Tersang dan aliran sekitarnya turun ke kawasan rendah di kampung berkenaan sebelum mengalir ke Sungai Golok yang sudah melimpah.
Beliau yang sudah dua malam di PPS itu berkata keluarganya kini lebih berhati-hati pada musim banjir dan berpindah awal kerana dirinya menghidap darah tinggi.
“Selepas banjir besar pada 2014, keadaan air termenung di kampung ini semakin teruk dari tahun ke tahun.
“Tahun lepas banjir sampai lebih tiga meter,” katanya yang sudah dua kali meninggikan kedudukan tiang rumah bagi mengurangkan risiko tenggelam.
Sementara itu, warga emas Razma Jusoh, 66, dari Kampung Siram turut terjejas apabila air memasuki rumahnya setinggi 0.4 meter manakala di pekarangan rumah mencecah satu meter.
Beliau berlindung di PPS bersama anaknya, Nor Azwani, 37, serta 10 cucu sejak tiga malam lalu kerana banjir termenung di kawasan itu dijangka mengambil masa seminggu untuk surut.
“Paling lama, pernah tinggal di PPS selama 10 hari.
“Kami memang bersedia, kalau terpaksa tinggal lebih lama demi keselamatan diri,” katanya.