KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memulakan tindakan penguatkuasaan terhadap FGV Holdings Bhd dengan mengeluarkan 127 notis larangan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran melibatkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) dikeluarkan pada Ahad dan Isnin itu merupakan langkah awal tindakan perundangan selepas rundingan berhubung isu pembayaran hasil negeri gagal mencapai persetujuan.
Menurutnya, proses rundingan telah dibuka sejak sekian lama namun tidak menunjukkan perkembangan positif meskipun kerajaan negeri memberi tempoh sehingga 29 November lalu sebagai tarikh akhir.
"Operasi kita semalam (Ahad) bukanlah tindakan mengejut. Semua pihak sudah dimaklumkan lebih awal. Ada yang mungkin ingat kita tak serius, tetapi setelah rundingan tidak membuahkan hasil, tindakan perundangan mesti dimulakan.
"Kita tidak bertindak sewenang-wenangnya. Semua proses telah melalui penelitian rapi oleh pasukan perundangan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda berkata, operasi itu merupakan penguatkuasaan terbesar dalam sejarah Negeri yang melibatkan KTN.
Jelas beliau, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan serentak di 127 lokasi dengan 20 anggota di Besut, Setiu (55), Hulu Terengganu (8), Marang (32), Dungun (26) dan Kemaman (15).
"Hampir 160 anggota penguat kuasa terlibat daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Tanah Daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Keluasan keseluruhan tanah melebihi 15,000 hektar dan dipecahkan kepada 127 lot. Setiap lot perlu dikeluarkan notis dan proses sitaan dilakukan satu per satu.
"Operasi dijalankan secara tertib. Penerima notis dimaklumkan dengan jelas tentang kesalahan serta langkah yang perlu diambil selepas menerima notis tersebut," katanya.
Mengulas mengenai prosedur dijalankan, beliau berkata, penerima notis diberikan tempoh empat hari bagi mengosongkan kawasan serta mengalihkan aset boleh alih.
"Selepas tempoh remedi berakhir, sitaan akan bermula. Aset yang disita akan menjadi milik pihak berkuasa negeri seperti diperuntukkan undang-undang.
"Tindakan susulan pula merangkumi kompaun, saman sivil untuk menuntut kerugian negeri yang didakwa berlaku sepanjang hampir 40 tahun serta prosiding jenayah kerana kesalahan di bawah Seksyen 425 KTN adalah kesalahan jenayah," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Azman menegaskan, tindakan tidak akan dikenakan kepada pengurus, pegawai ataupun pekerja ladang sebaliknya pihak yang akan menerima notis perundangan ialah Ahli Lembaga Pengarah FGV dan Felda yang bertanggungjawab dalam hal itu.
Mengenai kebajikan pekerja, beliau berkata kerajaan negeri memahami keresahan mereka namun kedudukan pekerjaan mereka bergantung kepada keputusan majikan iaitu FGV.
"Saya telah mengatur pertemuan dengan Pengurus FGV Terengganu untuk membincangkan isu pekerja. Kita tidak mahu berkonfrontasi, terutamanya dengan pekerja bawahan yang tidak bersalah.
"Kebajikan mereka tetap menjadi keutamaan dan kita akan menyantuni apa jua isu yang timbul. Namun pada masa sama, kerajaan negeri perlu mengembalikan hak negeri yang telah lama terkesan," katanya.