BAGAN DATUK - Kerajaan akan menyalurkan bantuan wang ihsan RM1,000 kepada mangsa yang terjejas banjir bermula hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, walaupun peraturan menetapkan pembayaran bantuan dibuat dalam tempoh tiga hari selepas pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, namun arahan baharunya adalah supaya bantuan disampaikan serta-merta bagi meringankan beban mangsa.
"Ketika mereka masih berada di PPS pun tidak salah untuk bantuan itu disalurkan.
"Saya telah mengarahkan mulai hari ini bantuan-bantuan itu diberikan kerana mereka memerlukan wang segera untuk membeli peralatan baharu setelah rumah mereka rosak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima taklimat mengenai situasi banjir di Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk di sini pada Isnin.
Ahmad Zahid berkata, meskipun bantuan ihsan tersebut tidak mencukupi bagi menampung segala kerugian dihadapi setiap keluarga, ia penting memandangkan ramai mangsa kehilangan barangan asas.
"Kita tidak memberikan pampasan, keprihatinan kerajaan ialah membantu kerana bencana ini takdir daripada ALLAH SWT dan kita harus menerima," katanya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menyifatkan trend banjir kali ini sebagai fenomena luar biasa apabila angin dari Selat Melaka menyebabkan kawasan pantai barat yang jarang terjejas turut dilanda banjir.
Katanya, paling merisaukan ialah jika berlaku gelombang kedua dan ketiga.
"Kesiapsiagaan ini telah diatur dan dikoordinasikan dengan tersusun bersama semua jabatan dan agensi terlibat baik di peringkat negara, negeri mahupun daerah," katanya.
Mengulas keadaan banjir di Bagan Datuk, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, situasi kali ini dianggap luar biasa kerana kejadian sedemikian tidak pernah berlaku dalam tempoh lebih 50 tahun.
Katanya, keadaan bertambah sukar apabila sebuah paip utama pecah menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan ke PPS.
"Saya telah minta Lembaga Air Perak (LAP) menghantar lori tangki dan mengepam air ke tangki besar di PPS bagi memastikan mangsa dapat menggunakan air bersih sepenuhnya tanpa perlu mengangkut menggunakan baldi," katanya.
Beliau turut mengarahkan semua aset pam iaitu pam kekal dan pam gerak milik jabatan digunakan sepenuhnya di kawasan yang terjejas banjir bagi mempercepatkan aliran keluar air terutama ketika paras air laut tinggi.
"Saya arahkan semua aset pam digunakan sepenuhnya, bukan disimpan. Gerakkan ke kawasan terjejas, bukan hanya di daerah ini tetapi di seluruh negara," tegasnya.
Setakat jam 7 pagi Isnin, seramai 14,040 mangsa daripada 4,518 keluarga dilaporkan masih berlindung di 171 PPS yang dibuka di lapan negeri terjejas banjir.
Perak mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 4,626 mangsa membabitkan 1,412 keluarga dan 30 PPS dibuka.
End