KUANTAN – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah menjalankan penilaian segera terhadap kestabilan cerun di kawasan kejadian tanah runtuh di laluan utama masuk ke Perumahan Puncak Arabella, Tanah Rata, Cameron Highlands, pada Jumaat lalu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Cameron Highlands berkata penilaian itu penting bagi menentukan sebarang langkah pencegahan sementara sebelum kerja-kerja pembersihan berskala besar dimulakan.
Menurutnya, proses perpindahan penduduk juga akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan penduduk di Blok B sekiranya keputusan penilaian cerun telah diperoleh dan perpindahan perlu dilakukan bagi keselamatan penduduk.
“Kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah telah bermula selepas kejadian oleh pihak Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan syarikat konsesi.
“Laluan masuk ke perumahan itu telah dibuka semula kepada semua jenis kenderaan pada awal pagi Jumaat lalu setelah kerja-kerja pembersihan selesai,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditempatkan di kawasan itu bagi memantau kawasan tersebut.
Sementara itu katanya, kejadian tanah runtuh yang berlaku di laluan utama masuk ke kawasan perumahan Puncak Arabella itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan, bagaimanapun 91 mangsa terdiri daripada penghuni 24 unit rumah di Blok C telah diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Puncak Arabella.
“Ketika ini, lapan Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 40 penduduk terjejas masih berada di PPS manakala 16 KIR melibatkan 51 mangsa berpindah ke rumah saudara mara yang berhampiran,” ujarnya.