KUANTAN - Seorang pengurus syarikat didenda RM60,000 dalam Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah menipu seorang lelaki membabitkan wang komisen RM30,000 untuk projek memasang dan menyelenggara papan iklan, kira-kira lima tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Yusof Ibrahim, 58, beralamat dari Balok turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Hukuman ke atas tertuduh itu diputuskan Hakim Sazlina Safie manakala pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rabiatul Addawiah Mohd Norlee.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu pemilik sebuah syarikat dengan memperdayakan lelaki itu sehingga menyerahkan komisen RM30,000 bagi mendapatkan projek memasang dan menyelenggara papan iklan di kawasan awam, kawasan perumahan dan kawasan sekolah.
Tertuduh mendakwa wang itu diminta pengarah sebuah syarikat pengiklanan bagi mendapatkan projek yang ditawarkan itu tersebut sedangkan individu tersebut tidak pernah meminta sedemikian.
Mohd Yusof didakwa melakukan kesalahan itu di sini antara Jun hingga Julai 2020.
Bagi kesalahan itu dia dituduh atas kesalahan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun yang sama dengan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar mahkamah menjatuhkan satu hukuman lebih ringan dengan alasan dia kini tidak bekerja dan perlu menyara isteri serta dua anak.
Tertuduh juga mendakwa dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang tempoh siasatan.
Malah, dia juga mengaku sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan yang telah menyusahkan keluarganya sendiri.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon satu hukuman lebih berat setimpal dengan kesalahan dilakukan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.