Jangan biarkan kelakuan songsang terus berleluasa

Iklan
Laporan Sinar Harian baru-baru ini berkaitan serbuan premis yang menawarkan aktiviti hubungan songsang.

ISU lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan lagi perkara baharu dalam masyarakat.

Malah ia sangat sensitif apabila gaya hidup golongan itu menyalahi tuntutan agama dan tatasusila budaya Timur dengan perlakuan di luar tabii manusia.

Iklan
Iklan

Berita penahanan 201 lelaki berusia 19 hingga 60 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang di sebuah pusat kesihatan di Kuala Lumpur pada Sabtu mencetuskan kebimbangan.

Di Pulau Pinang, seramai 13 lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti sama di sebuah premis perniagaan dan daripada jumlah itu, antara yang ditangkap adalah warga emas dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Iklan

Ketika serbuan, pasukan penguat kuasa turut menjumpai kondom, minyak pelincir dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan tidak bermoral tersebut.

Dua serbuan berasingan itu bukan sekadar cerita sensasi dengan keghairahan melaporkan angka tangkapan dan butir-butir operasi tetapi menyentuh realiti fenomena 'gelap' moral sosial masyarakat kini.

Iklan

Kecenderungan seksual yang disebut sebagai gay itu, melampaui nilai-nilai agama, etika, adat dan budaya kerana akhirnya boleh menjerumuskan golongan tersebut ke dalam hubungan luar tabii.

Hubungan sejenis bukan perkara baharu dalam sejarah manusia yang mana dalam al-Quran, ALLAH sudah menceritakan tentang kaum Nabi Lut yang dilaknat kerana terjebak dengan amalan yang melanggar fitrah ini.

Akhirnya, kaum itu dihancurkan dengan azab yang pedih sebagai peringatan kepada umat manusia hingga hari ini.

ALLAH melarang hubungan sejenis bukan sekadar untuk menjaga akhlak, tetapi untuk menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat.

Banyak kajian perubatan membuktikan hubungan sejenis meningkatkan risiko penularan penyakit berbahaya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), komuniti lelaki yang melakukan hubungan sejenis (MSM) menyumbang peratusan tertinggi kes HIV/AIDS di seluruh dunia.

Di Malaysia, menurut data Kementerian Kesihatan, lebih 70 peratus kes jangkitan HIV baharu sejak 2021 berpunca daripada hubungan seksual, dengan lebih separuh melibatkan hubungan sejenis.

Selain HIV, golongan berkenaan juga berisiko tinggi mendapat penyakit lain seperti sifilis, gonorea, herpes, HPV dan hepatitis B dan C.

Serbuan akan terus berlaku, kompaun akan terus dikeluarkan tetapi sebagai masyarakat, kita perlu melihat gambaran lebih besar.

Adakah pendidikan moral dan sosial kita mencukupi? Adakah penguatkuasaan kita adil dan profesional?

Pendekatan spiritual Islam dengan penekanan kepada aspek psikologi boleh dijadikan asas pemulihan, namun keberkesanannya memerlukan peranan jitu daripada keluarga, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan untuk mewujudkan peruntukan undang-undang lebih spesifik serta ekplisit.

Perlu disedari dan diakui bahawa kebebasan yang tiada pedoman itu bukan sahaja mengancam kemaslahatan umum tetapi juga akan menghancurkan sistem sosial dan nilai masyarakat yang didukung oleh nilai-nilai agama, budaya serta etika.