USAHA kerajaan membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini tidak pernah berhenti malah dilihat berterusan hingga ke hari ini.
Setiap hari ada sahaja tangkapan dilakukan bagi mengekang golongan berkenaan daripada terus bertambah jumlahnya di seluruh negara.
Usaha itu dilihat semakin agresif apabila jumlah tangkapan dilakukan melibatkan jumlah yang besar.
Berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia, seramai 90,000 PATI berjaya ditangkap di seluruh negara sepanjang tahun 2025.
Difahamkan, ia didorong oleh hasil pengukuhan penguatkuasaan dan pemerkasaan operasi jabatan berkenaan di seluruh negara.
Di samping itu, usaha membanteras PATI turut dimantapkan lagi dengan adanya agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.
Hasilnya, lebih banyak lokasi panas PATI di seluruh negara berjaya digempur berdasarkan maklumat yang diterima dan dikumpul.
Habis premis perniagaan, tapak pembinaan, kilang dan penempatan digempur tanpa mengira waktu, siang atau malam.
Tindakan agensi penguat kuasa terhadap PATI itu perlu disokong oleh semua pihak kerana ia berkait rapat dengan masa depan dan kepentingan negara.
Kelompok berkenaan perlu diusir agar negara terpelihara daripada perkara negatif yang berpotensi merugikan semua pihak.
Namun, ia perlu dilakukan mengikut lunas undang-undang agar tidak mencemarkan nama baik Malaysia dalam melayan warga asing yang ‘tidak diundang’ itu.
Lagipun PATI bukan ‘orang jahat’. Mereka datang ke negara ini untuk mencari rezeki. Cuma caranya tidak diiktiraf kerana bertentangan dengan prinsip undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan negara.
Bagaimanapun kehadiran PATI juga berpotensi menjejaskan kedudukan sosial dan ekonomi negara kita disebabkan oleh beberapa perkara tertentu.
Sebagaimana umum tahu, kehadiran mereka mewujudkan persaingan dalam merebut peluang pekerjaan dengan rakyat tempatan.
Ini kerana PATI sanggup menerima upah yang rendah asalkan mereka mempunyai pekerjaan, sekali gus dapat tinggal di negara ini.
Selain itu, kehadiran PATI juga berpotensi menyebarkan penyakit berjangkit yang boleh memudaratkan rakyat Malaysia, termasuk kematian.
Perkara tersebut dipercayai berlaku kerana PATI tidak melakukan sebarang saringan kesihatan ketika masuk ke negara ini.
Dalam pada itu, kehadiran kelompok berkenaan juga berpotensi menyebabkan munculnya pelbagai aktiviti jenayah dalam komuniti.
Antaranya pecah rumah, gaduh dan rasuah yang mana setiap satunya didorong oleh desakan hidup ketika berada di negara ini.
Masalah lain yang wujud akibat kehadiran PATI adalah penempatan haram dan penyelewengan barangan subsidi.
Justeru, usaha membanteras PATI amat penting supaya masalah yang timbul kesan kebanjiran golongan itu di negara ini dapat dikurangkan.
Kesungguhannya perlu ditingkatkan setara dengan usaha membanteras rasuah agar objektif pemutihan kelompok berkenaan dapat dicapai sepenuhnya.
Sungguhpun begitu, usaha membanteras PATI tidak akan selesai selagi masih ada ‘tangan jahat’ dari dalam yang mengkhianati negara.
Fokus tidak boleh tertumpu pada membanteras kelompok berkenaan semata-mata tanpa mengambil kira punca sebenar masalah.
Kerajaan juga perlu memburu dalang yang bertanggungjawab yang menggalakkan kemasukan PATI dari mana-mana pintu masuk negara.
Undang-undang mesti ditegakkan dan hukuman keras perlu dilaksanakan tanpa mengira siapa mereka.
Pengkhianat negara mesti dihadapkan ke mahkamah walaupun mereka itu ahli politik parti pemerintah, tauke besar berpengaruh atau penguat kuasa berpangkat.
*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Sub Editor Sinar Harian