KLUANG – Hajat Konstabel Muhammad Rahami Amirudin untuk melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya tidak kesampaian apabila dia ditemukan maut selepas dipercayai dihanyutkan arus deras di Kampung Giching, Sepang, pada malam Jumaat lalu.
Ayahnya, Sarjan Mejar Jabatan Penjara Malaysia (Kluang), Amirudin Mohd Hanifah, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu sempat membeli cincin merisik bersama tunang pada pagi sebelum insiden berlaku.
"Arwah ada memberitahu hasratnya mahu bertunang selepas Aidilfitri tahun depan.
"Pada malam kejadian, arwah juga sempat makan malam bersama bakal tunangnya serta keluarga di Kampung Giching sebelum bersiap untuk masuk kerja pada jam 11 malam," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, Simpang Renggam, malam Ahad.
Bagaimanapun menurut Amirudin, perjalanan anaknya ke tempat kerja di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai terhalang apabila laluan ke tempat kerja ditenggelami air.
“Secara kebetulan berhampiran lokasi kejadian ada kenduri. Arwah sempat bertanya kepada penduduk sama ada jalan tersebut boleh dilalui atau tidak, namun tetap melalui laluan itu walaupun dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian.
“Ketika melalui lintasan air tersebut, keretanya dipercayai dihanyutkan ke dalam tali air, menyebabkan arwah terpaksa keluar dari kenderaan dan berenang ke tepi sebelum dibawa arus deras,” katanya
Amirudin berkata sebaik sahaja diberitahu mengenai insiden yang menimpa anaknya itu, dia sekeluarga bergerak ke lokasi kejadian di Sepang pada jam 3 pagi Jumaat.
"Saya bersama keluarga berada di Sepang sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pelbagai agensi penyelamat.
"Doa kami sekeluarga tidak pernah putus. Ketika ditemui arwah masih lengkap beruniform polis," katanya.
Suasana hiba menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, rakan-rakan serta penduduk kampung hadir mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham.
Sebelum itu, jenazah Muhammad Rahimi disolatkan di Surau Ar-Raudhah, Penjara Simpang Renggam.
Media melaporkan Muhamad Rahimi Amirudin yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai di Negeri Sembilan sejak setahun lalu dilaporkan cuba berenang keluar dari parit selepas kereta Produa Bezza dinaikinya tidak dapat meneruskan perjalanan akibat daripada air banjir terlalu tinggi.
Kejadian berlaku ketika Rahimi dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari Kampung Giching di Sepang dan dilihat cuba berpaut di tiang papan tanda jalan sebelum dihanyutkan arus deras kira-kira jam 10.30 malam pada Jumaat.
Mayat arwah kemudiannya berjaya ditemui kıra-kira 50 meter dari tempat dilaporkan hilang kira-kira jam 7.30 pagi tadi.