GEORGE TOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua kapal tangki disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal di kedududukan 24 batu nautika barat Muka Head, pada Khamis lalu.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai perbuatan itu kira-kira jam 1 pagi apabila terdapat kapal tangki dalam keadaan bersauh dan disyaki mereka melakukan aktiviti pemindahan minyak yang melibatkan dua buah kapal tangki di perairan itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal itu dalam keadaan bergandingan dan disyaki melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal.
"Kedua-dua kapal terbabit dipercayai melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah yang melibatkan 53 orang kru, dimana kesemua kru terdiri daripada warga China, Myanmar, Iran, Pakistan dan India.
"Nilai rampasan minyak mentah adalah berjumlah lebih RM512 juta, manakala nilai rampasan bagi kedua-dua kapal tangki tersebut adalah RM718 juta," katanya menerusi satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Muhammad Suffi berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia dan sabit kesalahan membawa hukuman sebanyak RM100,000.
"Tindakan juga diambil mengikut Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu melakukan aktiviti kapal ke kapal (ship to ship transfer) tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang membawa hukuman sebanyak RM 200,000 ke atas kedua-dua vesel.
"Dua kapten kapal dan vesel terlibat telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang, katanya.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan, Maritim Malaysia Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan rondaan di perairan negeri ini untuk memastikan semua aktiviti di laut mematuhi peruntukan undang undang sedia ada.