KOTA TINGGI - Seorang bekas pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), yang difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), kini menumpukan usaha mempelajari ilmu agama.
Mohd Normateen Mohd Sharif, 68, mengakui latar belakangnya yang bukan daripada aliran agama menyebabkan dirinya mudah terpengaruh suatu ketika dahulu.
Bekas tentera laut itu memberitahu penyertaan dalam Kursus Pemantapan Akidah dan Program Istitabah (taubat) membuka lembaran baharu dalam hidupnya, terutama selepas menyedari banyak ilmu agama yang selama ini tidak difahami.
"Saya bukan orang agama (kuat agama). Jadi bila ikut program ini, bila didedahkan dengan ilmu, saya semangat. Islam ni bukan untuk didengar-dengar saja tapi untuk dihayati.
"Sebelum ini saya lihat kumpulan yang saya sertai jemaahnya kelihatan mengamalkan Islam. Itu yang membuatkan saya tak nak keluar dulu. Tapi sejak akhir-akhir ini banyak perkara yang tersilap. Alhamdulillah kerajaan dedahkan dan betulkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pemantapan Akidah dan Istitabah (taubat) bekas ahli GISBH membabitkan penyertaan seramai 277 bekas ahli itu di Masjid As'Syifa Bandar Penawar di sini pada Ahad.
Jelasnya, banyak perkara yang sebelum ini dianggap benar rupa-rupanya jauh daripada ajaran Islam sebenar.
"Dalam sesi kuliah yang kami terima, tenaga pengajar dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) beri ilmu sahaja. Tak ada bentak-bentak, tak ada marah-marah. Semua untuk kesedaran.
"Kami ini bukan orang belajar tinggi. Jadi bila diberi ilmu, barulah kami boleh beza mana yang baik dan mana yang tidak. Apa yang dia (penceramah) dedahkan itu sangat baik dan banyak membuka minda.
"Kalau kita buka minda, akan banyak dapat manfaat. Tapi kalau hati tutup, apa pun tak boleh masuk," katanya.
Dalam masa sama, Mohd Normateen turut menyeru bekas pengikut yang masih belum tampil menyertai program berkenaan supaya segera berbuat demikian demi kebaikan diri dan keluarga.
"Saya nasihatkan, eloklah serah diri. Banyak sangat manfaatnya. Minda kita lebih luas. Kalau ilmu kita tak cukup, pemikiran jadi sempit. Agama (Islam) ini tinggi, bukan untuk disempitkan.
"Selain pendedahan dan bimbingan agama yang diberikan, JAINJ juga memberi bantuan untuk memulakan hidup," ujarnya.