Banjir terburuk sejak 1984, petani buah rugi RM40,000

Iklan
Jefneri menunjukkan hasil pisang yang sepatutnya dituai dalam tempoh sebulan lagi tidak berjaya diselamatkan berikutan banjir di kebunnya di Kampung Parit Tengah di sini.

BAGAN DATUK - Musibah banjir yang melanda daerah Bagan Datuk bukan sahaja menjejaskan kediaman penduduk, malah merosakkan tanaman yang diusahakan petani setempat.

Seorang petani, Jefneri Tajab, 46, berkata, sepanjang terlibat dalam bidang pertanian sejak tahun 2008, banjir teruk seperti itu pertama kali dialami sehingga menyebabkan tanaman tembikai susu seluas 2 hektar dan pisang seluas 4 hektar musnah.

Iklan
Iklan

"Saya sendiri memang tak sangka banjir kali ini teruk sebab kali terakhir terjadi seperti ini pada tahun 1984. Kalau air naik sebelum ini tidaklah sampai kebun. Saya cuma sempat tuai tembikai susu dalam 2 tan lebih, yang lain semua sudah terapung sebab banjir.

"Begitu juga dengan pisang yang sebahagiannya terpaksa diambil menaiki sampan dan sebahagian lagi menunggu masa kira-kira sebulan lagi untuk dituai tetapi tidak sempat juga," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kebunnya di Kampung Parit Tengah di sini pada Ahad.

Iklan

Jefneri menunjukkan sebahagian tembikai susu yang ditanam terapung akibat banjir di kebunnya di Kampung Sungai Nipah Darat di sini.

Jelas Jefneri, keseluruhan tembikai susu dan pisang pelbagai jenis yang tidak sempat dituai dianggarkan sebanyak 20 tan metrik dengan nilai kerugian sekitar RM40,000.

Iklan

Menurutnya, pendapatan kini hanya mengharapkan simpanan yang ada, selain perniagaan kedai bunga yang diusahakan.

Dia kini mengharapkan bantuan daripada pihak berkaitan untuk meringankan beban yang ditanggung bagi memulakan usaha tanaman baharu selepas banjir.

"Selepas pulih banjir ini, saya rancang nak kembali menanam tembikai susu untuk pasaran menjelang Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri kerana kebiasaannya permintaan tinggi.

"Saya akan buat aduan dan laporan mengenai bencana banjir ini kepada agensi berkaitan. Harapnya ada pihak yang dapat bantu untuk tanam semula selepas ini," katanya.

Sementara itu, berdasarkan pemerhatian di kawasan sekitar kebun berkenaan mendapati beberapa tanaman lain seperti kelapa sawit, kelapa dan pisang milik penduduk serta estet berhampiran turut terendam di dalam banjir.