SHAH ALAM – Seorang wanita warga emas berasal dari China menyentuh hati warganet apabila mempamerkan kebolehannya bertutur dalam bahasa Melayu dengan sangat lancar.
Berdasarkan perkongsian pencipta kandungan YouTube, Husna Liang baru-baru ini, Sun Baoping atau lebih mesra dipanggil Cikgu Fatimah, dikhabarkan pernah bekerja sebagai pensyarah bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU), Beijing.
Namun, wanita berusia 72 tahun itu kini sudah bersara dan menikmati usia senjanya dengan melakukan aktiviti ringan bersama penduduk Kampung Xiaoling.
Menerusi perbualan santai tersebut, Cikgu Fatimah turut berkongsi kisah tentang bagaimana beliau mempelajari bahasa Melayu sehingga fasih, bahkan pandai menggunakan peribahasa.
Kata beliau, semuanya bermula 52 tahun lalu (1973) apabila dirinya berkesempatan mengikuti jurusan bahasa Melayu meskipun pada awalnya ditemu duga untuk bahasa Jerman.
“Jadi, Institut Bahasa-Bahasa Asing Beijing menghantar seorang guru berbahasa Jerman. Beliau pergi ke sana dan menemu duga saya.
“Sewaktu mengisi borang, saya tahu saya akan belajar bahasa Jerman kalau diterima. Semuanya lancar, tetapi tiba-tiba diberitahu bahawa saya telah dialihkan ke jurusan bahasa Melayu.
"Apa yang saya lebih pentingkan adalah peluang untuk masuk universiti dan kalau di Beijing lebih baik. Ibu bapa pun sangat gembira apabila tahu saya diterima dan belajar di ibu kota,” kongsinya.
Cikgu Fatimah menambah, hubungan diplomatik antara China dan Malaysia masih belum terjalin ketika itu, menyebabkan bahan pengajaran amat terhad.
Namun, berkat usaha gigih, beliau berjaya menjadi pelajar terbaik dalam tahun kedua pengajian dan kemudiannya berkhidmat sebagai jurubahasa untuk delegasi Malaysia pada tahun 1975.
“Saya masih menyimpan sebotol minyak wangi yang dihadiahkan oleh anggota rombongan Malaysia sewaktu saya bertugas sebagai penterjemah bagi Kejohanan Jemputan Persahabatan Renang dan Terjun Antarabangsa pada tahun tersebut.
“Minyak wangi ini saya ingin simpan sehingga saya bertemu semula dengan orang yang menghadiahkannya,” ujar beliau.
Berdasarkan video berdurasi 11 minit 29 saat itu juga, Cikgu Fatimah turut menunjukkan beberapa lagi tanda kenang-kenangan seperti buku Rukun Negara dan surat yang diberikan oleh seorang pemuda bernama Muhammad Ismail.
Ketika menelusuri kawasan kampung bersama tetamu, beliau juga kelihatan tidak kekok berpantun dan bertutur menggunakan peribahasa.
Antaranya ‘hangat-hangat tahi ayam’ yang bermaksud tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan.