Krisis kredibiliti bukti reformasi undang-undang tidak boleh dilengahkan - Rasuah Busters

Iklan
Kenyataan media Rasuah Busters pada Jumaat.

SHAH ALAM - Krisis kredibiliti yang semakin meruncing dalam negara hari ini merupakan bukti jelas bahawa beberapa pembaharuan besar perlu dilaksanakan segera tanpa sebarang penangguhan.

Rasuah Busters berkata, ia jelas keperluan diwujudkan Akta Pendanaan Politik serta pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya tidak boleh dilengahkan sama sekali.

Iklan
Iklan

Beliau menambah, tindakan sama diperlukan segera untuk Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.

"RasuahBusters memandang serius episod politik menjengkelkan, rentetan alegasi dan skandal rasuah terkini melibatkan figura berpengaruh dalam politik seperti Shamsul Iskandar, Farhash Wafa, skandal perlombongan Sabah dan lain-lain isu yang secara kolektifnya mengancam kredibiliti agenda antirasuah negara.

Iklan

"Kestabilan negara bertitik tolak daripada kredibiliti politik dan pembangunan ekonomi yang dibina daripada keupayaan asli, kualiti dan hasil kerja serta berorientasikan rakyat. Bukan dibangunkan melalui kabel, surat sokongan, ugutan atau 'siapa kenal siapa'," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam hal berkaitan, Rasuah Busters berpandangan bahawa perbuatan menerima rasuah merupakan pengkhianatan dan penghinaan, manakala menerima rasuah sebagai jalan pintas dalam perniagaan itu menjijikkan.

Iklan

Tegas kenyataan itu, politik dan perniagaan sihat dipandu oleh daya tahan diri kuat melalui kompas moral yang tinggi serta wujudnya undang-undang tegas melalui siasatan telus dan tidak selektif.

Gerakan itu turut mengingatkan Malaysia akan terus berdepan skandal rasuah memalukan, selagi mana pengisytiharan harta, deklarasi konflik kepentingan dan pengisytiharan pemilik benefisial tidak dilaksanakan secara menyeluruh kepada bukan sahaja kepada wakil rakyat tetapi harus merangkumi semua pegawai-pegawai pemimpin politik.

"Wibawa SPRM kini sedang dicabar untuk membuktikan bahawa ia bukan saja akan menjalankan siasatan secara bebas tanpa sebarang campur tangan politik yang berpotensi melunakkan siasatan, bahkan hasilnya juga harus dikomunikasikan kepada rakyat secara berkala, telus dan terbuka selagi ia tidak menggugat keselamatan nasional," tambahnya.

Kenyataan tersebut juga menyentuh peranan kerajaan selepas mandat besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Justeru, pasukan kepimpinan Madani berakauntabiliti untuk meletakkan standard integriti tahap tinggi dalam tatakelolanya, selain menghapuskan preskripsi wujudnya sekutu mempunyai ‘immunity de facto’ yang boleh meruntuhkan prinsip ‘no one is above the law’ sebagai asas keadilan sering dilaungkan," jelasnya.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Rasuah Busters mengingatkan rakyat tentang peranan mereka sebagai penentu masa depan negara.

"Rakyat adalah bos, penentu seriusnya kita memulihkan reputasi negara agar tidak terus diseret ke bawah dengan pemilihan pemimpin yang salah," kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, RasuahBusters dan rakan gabungan komited memberi input penambahbaikan, memantau, mengkritik secara konstruktif serta mendesak perubahan agar Malaysia benar-benar bergerak daripada retorik antirasuah kepada tindakan realistik demi mandat rakyat untuk Malaysia lebih baik.