BANGI – Sejarah Pulau Pinang tidak pernah muncul sebagai sebuah entiti berdaulat yang berdiri sendiri, tegas seorang profesor sejarah sosial tempatan.
Sebaliknya, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican menjelaskan seluruh sejarah awal Pulau Pinang hakikatnya berpaksikan kedaulatan Kesultanan Kedah sejak sekurang-kurangnya abad ke-17.
Menurutnya, naratif kononnya Pulau Pinang ‘ditemui’ oleh Kapten Francis Light pada 1786 merupakan mitos kolonial yang sudah lama dikitar semula dalam buku teks serta penulisan sejarah peradaban negara yang popular bagi tujuan melenyapkan sejarah ketamadunan Melayu itu sendiri.
Walhal, beliau menegaskan pelbagai fakta dari sumber Melayu serta dokumen perjanjian British sendiri termasuk lebih 2,000 surat-surat Light membuktikan wilayah itu berada di bawah kekuasaan Sultan Abdullah Mukarram Shah yang merupakan Sultan Kedah ketika itu.
"Naratif kolonial sengaja membingkaikan 1786 sebagai titik lahirnya Pulau Pinang moden sedangkan dokumen sah menunjukkan tiada pajakan, perjanjian atau persetujuan antara British dan Kedah pada tahun tersebut.
"Hakikatnya, tahun 1786 hanyalah pencerobohan Light ke atas negeri Melayu berdaulat, bukan permulaan sebuah entiti politik baharu. Naratif kehadiran British di Pulau Pinang hanya bermula pada 1791 apabila wujud dokumen pajakan rasmi, bukan 1786 seperti tercatat dalam kebanyakan buku teks," katanya kepada media pada Jumaat.
Ahmad Murad berkata demikian dalam satu program Bicara Persada Minda-UKM yang bertajuk 'Merungkai Polemik Pensejarahan Malaysia: Antara Fakta Dan Tafsiran' anjuran Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM).
Selain beliau, panel lain yang turut terlibat ialah Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UKM, Profesor Datuk Dr Jayum Jawan.
Mengulas lanjut, Ahmad Murad turut menyatakan isu kesilapan dan pemesongan fakta sejarah ini terbawa-bawa sehingga membentuk persepsi salah dalam wacana awam, seolah-olah Pulau Pinang berkembang sebagai ‘koloni bebas’ yang tidak mempunyai hubungan asal-usul dengan Kedah.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kecelaruan sejarah negara yang menurutnya berlaku akibat 'pertelingkahan sejarah dalam kalangan tokoh-tokoh sejarawan yang diakui bias terhadap perspektif masing-masing' serta dominasi sudut pandang pro-kolonial.
Katanya, pemesongan fakta bukan sahaja menyingkirkan sejarah warisan Kesultanan Melayu, bahkan menghakis peranan sejarah penduduk asal dan pribumi dalam pembentukan negara bangsa.
"Kita terperangkap dengan naratif kolonial yang mengangkat Light sebagai pengasas Pulau Pinang, sedangkan hakikat sejarah menunjukkan Kedah memiliki kedaulatan penuh sebelum campur tangan British,” jelasnya.
Justeru, Ahmad Murad menggesa kerajaan mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Sejarah Nasional yang mempunyai kuasa statutori seperti Suruhanjaya Sejarah Filipina bagi menimbang, mengadili dan menetapkan semula kerangka sejarah negara secara objektif.
Walaupun kerajaan baru membentuk Majlis Sejarawan Negara, beliau menekankan keperluan penubuhan satu suruhanjaya bebas yang diberi mandat Parlimen dan dipengerusikan seorang hakim dengan pelaksanaannya diselaraskan oleh Persatuan Sejarah Malaysia.
"Kita memerlukan mekanisme yang mampu meluruskan fakta, bukan sekadar majlis tanpa kuasa.
"Banyak polemik seperti isu tuntutan Pulau Pinang–Kedah, pertikaian pendudukan awal sejarah Kuala Lumpur dan pelbagai isu pengkhususan etnik hanya boleh diselesaikan melalui suruhanjaya yang adil, saksama dan berpaksikan sejarah pribumi," ujarnya.
Tambah Ahmad Murad, sejarah nasional hakikatnya mesti berpijak kepada asas negara iaitu sejarah Melayu dan institusi pribumi sebelum diperluaskan secara inklusif kepada semua kaum.
"Jika pemesongan kolonial tidak diperbetulkan, sejarah Malaysia akan terus hanyut," tegasnya.
Mengulas sama ada hasrat kerajaan Kedah membawa isu tuntutan hak pajakan Pulau Pinang ke mahkamah adalah relevan dengan keperluan meluruskan kembali fakta dan rekod sejarah Pulau Pinang dalam peta sejarah negara, Ahmad Murad bagaimanapun melihat tuntutan berkenaan lebih bersifat politik.
"Saya melihat tuntutan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) bagi menjunjung titah Sultan Kedah sebelum ini, lebih menyentuh soal nilai (wajar) pajakan Pulau Pinang yang sepatutnya dibayar kerajaan Persekutuan kepada negeri itu (berbanding nilai semasa).
"Perkara paling penting adalah tekad semua pihak untuk memastikan fakta sejarah negara kembali diluruskan secara adil dan saksama dengan berpaksikan sejarah Melayu dan institusi pribumi sebelum diperluaskan secara inklusif kepada semua kaum," jelasnya.