'Air naik terlalu cepat, terpaksa minta tolong APM'

Iklan
Kediaman rumah penduduk di Kampung Sungai Karang dinaiki air susulan limpahan air sungai berhampiran. Gambar kecil: Dari kiri Muhammad Saifuddin, Norhasilah.

KUANTAN - “Ini kali pertama saya terpaksa berpindah kerana air naik terlalu laju hingga kami terpaksa naik bot dari rumah ke jalan.”

Demikian kata Norhasilah Yusof, 35, apabila kediamannya di Kampung Sungai Karang dinaiki air secara mendadak pada malam Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, banjir kali ini sedikit berbeza berbanding sebelum ini kerana ia berlaku dalam tempoh singkat.

“Sebelum ini banjir sikit saja, tapi kali ini, dalam masa kurang satu jam, air naik tinggi.

Iklan

"Air mula-mula naik dari paras buku lali ke betis, kemudian terus ke pinggang dengan cepat," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang di sini pada Jumaat.

Rosli bersama ahli keluarga dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian.

Iklan

Norhasilah memaklumkan, limpahan sungai berhampiran rumahnya menyebabkan arus deras memasuki kawasan kediamannya sejurus selepas Maghrib.

Melihat keadaan semakin berbahaya, dia segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk membantu menyelamatkan barangan penting.

“Mereka bantu angkat motosikal, peti sejuk dan keperluan lain serta membawa kami semua ke tempat lebih selamat," luah mangsa itu.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Saifuddin Yusuf, 30, mengaku menerima panggilan daripada isterinya mengenai rumah mereka dinaiki air susulan limpahan sungai berhampiran.

"Bila sampai rumah, kami kemas apa yang sempat sahaja kerana air makin laju dan hanya selamatkan diri serta dokumen penting sahaja," katanya.

Menurut tukang kebun itu, ini merupakan pengalaman banjir pertama yang teruk menimpa keluarganya.

“Yang lepas itu tidak seperti ini, walaupun air naik, kami tidak berpindah ke PPS. Tapi kali ini teruklah, saya rasa air sampai sekat pinggang,” jelasnya.

Sementara itu, Rosdi Muda, 60, dari Kampung Pelindung Pantai pula mengakui sudah biasa dengan situasi seperti ini setiap kali musim tengkujuh.

"Bila ada arahan suruh pindah, kami akur dan berada di tempat selamat," katanya ringkas.