IPOH – Perak bakal melaksanakan larangan sepenuhnya pemberian beg plastik sekali guna di seluruh negeri mulai 1 Januari 2026 sebagai langkah lebih tegas menangani pencemaran plastik yang semakin membimbangkan.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, keputusan itu dibuat selepas kaedah pengenaan caj pencemaran sebanyak 20 sen bagi setiap beg plastik didapati tidak mencapai keberkesanan yang diharapkan sejak dilaksanakan pada 2023.
Menurutnya, meskipun kempen ‘Tiada Beg Plastik’ telah dikuatkuasakan secara berperingkat oleh semua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak Jun 2023, jumlah kutipan caj pencemaran terus meningkat setiap tahun.
"Pada 2023, jumlah kutipan caj plastik oleh PBT adalah RM204,238 sebelum meningkat ketara kepada RM597,348 pada 2024. Dari Januari hingga September 2025 sahaja, kutipan sudah mencecah RM361,510.
"Secara keseluruhan sehingga kini, sebanyak RM1.16 juta telah dikutip daripada 598 premis yang mengenakan caj beg plastik kepada pelanggan,” katanya menjawab soalan lisan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini pada Jumaat.
Kok Lim berkata, peningkatan angka itu membuktikan kaedah caj tidak memberi impak cukup besar untuk mengubah tingkah laku pengguna, sekali gus menjadikannya kurang berkesan sebagai mekanisme kawalan.
Menurutnya, perkara itu turut ditegaskan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Ke-15 pada 15 April lalu yang menyifatkan prinsip ‘user pay’ di premis perniagaan masih gagal mengurangkan kebergantungan kepada plastik.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa cadangan pelaksanaan larangan total itu kini sedang diperhalusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum dibentang untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri akan memperkukuh usaha melalui kempen kesedaran, pendidikan awam dan advokasi bagi memastikan penggunaan beg plastik sekali guna dapat dikurangkan secara menyeluruh menjelang pelaksanaan larangan penuh tahun depan.