'Laut tak boleh dilawan' - Nelayan kongsi kisah cemas harungi badai

Iklan
Nelayan berhati-hati dengan ancaman Ribut Tropika Senyar yang melanda Selat Melaka pada malam Khamis. Gambar kecil: Jalaluddin

Hanya mampu berpaut pada rangka bot sementara tunggu ombak kembali reda

SABAK BERNAM -"Ribut Tropika Senyar ini memang menakutkan, tapi apa yang pernah saya tempuhi sewaktu di tengah lautan dulu masih terbayang dalam ingatan," demikian kata seorang nelayan, Jalaluddin Mohd Kastawi, 53.

Jalaluddin mengakui fenomena Ribut Tropika Senyar yang berlaku di Selat Melaka pada malam Khamis mengingatkannya kepada detik cemas hampir meragut nyawanya di tengah laut lebih 20 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang lebih 30 tahun menjadi nelayan, dia sudah terbiasa dengan keadaan laut bergelora, namun tidak pernah mengambil mudah setiap kali menerima amaran cuaca buruk.

“Jujurnya, ini kali pertama saya dengar tentang ribut Senyar. Tidak mustahil ancamannya lebih dahsyat berbanding apa yang saya pernah lalui sebelum ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Iklan

Mengimbau pengalaman paling ngeri ketika berada di laut, Jalaluddin yang menetap di Sungai Besar berkata, bot pukat tunda dikemudinya pada tahun 2000 hampir tenggelam akibat dipukul ombak besar.

“Saya masih ingat bagaimana ombak deras menenggelamkan bot sehingga senget sebelah, seolah-olah hampir karam.

Iklan

“Dua rakan di bahagian depan bot saya ingat sudah jatuh ke laut, rupanya mereka sempat berpaut pada besi pemegang,” katanya.

Dalam keadaan genting itu, mereka hanya mampu berpaut pada rangka bot sambil menunggu ombak reda sebelum bot kembali stabil.

"Mujur tak ada yang hilang nyawa, tapi hasil tangkapan hanyut dipukul ombak dan tak sempat diselamatkan,” ujarnya.

Lebih menakutkan, katanya, ialah pengalaman ketika tsunami 2004, apabila berada di tengah lautan dan merasakan alunan ombak luar biasa.

“Masa itu saya tak tahu itu tsunami sebab di tengah laut kita tak nampak gelombang besar. Tapi boleh rasa air seperti ditarik dan ditolak kuat hingga jaring terangkat. Bila sampai darat, baru tahu tentang tragedi itu,” katanya.

Menurut Jalaluddin, pengalaman-pengalaman cemas itu menjadikannya lebih berhati-hati setiap kali menerima amaran ribut, termasuk fenomena Ribut Tropika Senyar yang kini memberi kesan besar kepada komuniti nelayan setempat.

"Kalau ribut macam ni, kami tak tunggu. Laut bukan boleh lawan, sekali silap, nyawa pasti melayang,” katanya.