SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang giat menjalankan proses pengosongan ladang babi secara besar-besaran di Tanjung Sepat, Kuala Langat dengan jumlah yang masih beroperasi merosot mendadak daripada 115 kepada kira-kira 30 ladang sahaja buat masa ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, langkah drastik itu diambil terutamanya melibatkan kawasan yang dikesan positif dijangkiti penyakit wabak demam babi Afrika (ASF).
Izham menjelaskan, kerajaan negeri tetap memberi ruang secara berperikemanusiaan namun tegas dengan dasar sedia ada.
"Penternak (babi) sudah tahu dasar kita iaitu tidak boleh lagi meneruskan (penternakan) di lokasi tersebut," katanya ketika ditemui di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, Izham menjelaskan, bagi ladang yang masih negatif penyakit, pihaknya masih memberi masa untuk proses pengosongan.
"Kalau ada anak babi yang baru lahir, takkan kita nak lupus terus, jadi kita beri masa untuk ia besar sedikit sebelum dibawa keluar (untuk proses pelupusan)," ujarnya.
Beliau menegaskan, tindakan pengosongan bukan bermaksud kerajaan negeri mahu mengharamkan industri penternakan babi, sebaliknya ingin memastikan ia diuruskan dengan lebih sistematik dan lestari.
"Saya ada bentangkan beberapa cadangan penambahbaikan semasa MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) pagi tadi (Jumaat) dan akan mengadakan dialog dengan persatuan terlibat bagi memberi kefahaman kepada mereka, kita bukan hendak mengharamkan penternakan babi.
"Kita faham babi itu haram dimakan (umat Islam), tapi maksudnya di sini kerajaan bukan nak haramkan penternakan, cuma kita mahu urus dengan baik pada masa depan," katanya.
Menurut Izham, pengurusan yang tidak lestari akan menyebabkan pelbagai penyakit muncul sekali gus merugikan penternak dalam jangka masa panjang.
Ujar beliau, bekalan import berjalan seperti biasa sama ada dalam bentuk hidup atau beku dan ia bukan merupakan satu isu besar buat masa ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Izham memaklumkan, Selangor bebas daripada virus Nipah, tetapi masih mengawal wabak ASF yang hanya menjangkiti haiwan tersebut dan tidak berjangkit kepada manusia.
Katanya, kesan daripada wabak ASF terhadap babi hutan turut menyebabkan gangguan ekosistem di hutan.
"Kita terima laporan harimau sudah mula keluar ke pinggiran hutan disebabkan babi hutan banyak yang mati akibat ASF sekali gus menyebabkan sumber makanan pemangsa itu berkurangan," tambah beliau.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Isnin lalu memaklumkan, Selangor memutuskan untuk menangguhkan dan membatalkan sementara sebarang cadangan melibatkan pembangunan berkaitan ladang penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor berikutan bantahan keras penduduk serta keperluan penelitian lebih menyeluruh.
Sinar Harian pada 12 Januari lalu melaporkan, perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari Kuala Langat ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar akan disegerakan sebelum hujung tahun ini.
Bagaimanapun, penduduk empat Felda di daerah ini memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menitahkan agar kerajaan negeri tidak meneruskan rancangan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.
Sebelum ini, Amirudin berkata, kerajaan Selangor masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi cadangan berpusat pemindahan ladang ternakan babi ke Bukit Tagar, namun bersedia menyemak semula pilihan lokasi lain sekiranya terdapat keperluan.
Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjong Sepat, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Baginda bertitah pihak istana tidak bersetuju terutamanya wujud kemungkinan membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.