SHAH ALAM – Sebanyak 56 rakan affiliate dan dropship Karangkraf yang mencatatkan jualan tertinggi menerima pengiktirafan menerusi Majlis Penghargaan Affiliate & Dropship Karangkraf yang diadakan pada Sabtu.
Ketua Pemasaran Karangkraf Mall, Nur Syahidah Husin berkata, penganjuran program itu bertujuan menghargai usaha keras lebih 10,000 rakan affiliate dan dropship berdaftar yang telah menyumbang kepada jumlah jualan Karangkraf Mall sepanjang tahun lalu.
“Daripada keseluruhan jualan Karangkraf Mall, 60 peratus disumbangkan oleh affiliate dan dropship. Justeru, program ini diadakan bagi meraikan mereka yang telah bekerja keras bersama-sama kami.
“Majlis ini bukan sahaja bertujuan meraikan pencapaian jualan tertinggi, malah sebagai motivasi untuk mereka terus konsisten mempromosikan produk Karangkraf Mall pada masa akan datang,” katanya selepas Majlis Penghargaan Affiliate & Dropship Karangkraf yang berlangsung di Studio My #QuranTime, Kompleks Karangkraf, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, kategori utama yang diiktiraf termasuk Top Ten Dropship dan Top Ten Affiliate, selain pencapaian terbaik mengikut genre bahan bacaan seperti al-Quran, buku Islamik, buku umum, buku kanak-kanak, novel ‘thriller’, novel seram dan novel cinta.
“Setiap kategori akan memilih antara tiga hingga enam pemenang, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 56 orang penerima pengiktirafan.
“Ini merupakan kali pertama majlis penghargaan seumpama ini dianjurkan dan, insya-Allah, akan diteruskan pada tahun hadapan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pelaksanaan inisiatif affiliate dan dropship Karangkraf Mall, Nur Syahidah berkata, program itu telah dimulakan sejak 2022 dan terus berkembang sehingga mencatatkan jualan tertinggi pada tahun lalu.
“Sejak diperkenalkan, inisiatif ini telah menarik hampir 10,000 peserta berdaftar termasuk affiliate dan dropship.
“Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur, sekali gus menunjukkan peluang ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat mempromosikan produk Karangkraf,” katanya.
Dalam pada itu, johan kategori Top Ten Affiliate, Nur Syazwani Abd Razak berkata, penganjuran majlis berkenaan dilihat memberi dorongan kepada beliau dan suaminya, Mohamad Rasshuwan Mohd Sukawati untuk terus menjana pendapatan dalam bidang affiliate.
“Saya tidak menyangka dapat menduduki tempat pertama kerana Karangkraf merupakan satu jenama besar dan mungkin terdapat pesaing lain yang lebih layak. Pada peringkat awal, memang sukar untuk menceburi bidang affiliate ini.
“Saya pernah bersiaran langsung di media sosial sebanyak lima kali sebulan tetapi tidak mempunyai penonton. Ketika itu memang mencabar, namun saya dan suami tetap meneruskannya.
“Alhamdulillah, tidak lama selepas itu video affiliate kami mula mendapat sambutan dan menghasilkan jualan. Yang penting, usaha perlu berterusan,” katanya.