Hilmi tekad turun berat badan demi haji

Iklan
AHMAD HILMI membuat keputusan untuk menurunkan berat badan dan mengamalkan gaya hidup sihat demi menunaikan ibadah haji dengan sempurna. - Gambar hiasan/Foto Canva

Akauntan muda tekad turunkan berat badan, jaga pemakanan untuk tunai rukun Islam kelima

KETIKA sedang duduk bersantai membaca akhbar di rumah sambil menghirup kopi pagi Oktober lalu, Ahmad Hilmi Al-Bukhari, 39, terdiam seketika apabila membaca berita berkaitan syarat kesihatan yang ketat buat bakal jemaah haji musim 1447H/2026.

Akauntan di sebuah syarikat swasta itu membaca satu persatu syarat-syarat layak dan tidak layak yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi itu.

Iklan
Iklan

Antara syarat yang melayakkan untuk menunaikan ibadah haji ialah bebas daripada penyakit berjangkit, serius atau kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadah haji dengan sendiri.

Lama dia berfikir, jika sekarang pun terasa sukar untuk rukuk dan sujud dengan berat badan sedemikian, apatah lagi jika ibadah haji yang memerlukan kekuatan fizikal untuk melaksanakannya.

Iklan

Tiba-tiba rasa bersalah menyelubungi diri. Ahmad Hilmi merasakan jika ALLAH menjemputnya ke Tanah Suci dalam masa terdekat, mungkin dia tidak dapat memenuhi panggilan agung itu.

Seperti jutaan umat Islam yang menanti-nantikan peluang menunaikan ibadah haji, dia tidak pernah menyangka aspek kecergasan fizikal, berat badan dan tahap kesihatan keseluruhan kini menjadi faktor penting sebelum dibenarkan berangkat.

Iklan

IBADAH haji memerlukan kekuatan fizikal dan badan yang cergas. Foto Canva

Ujarnya, selama ini beliau menganggap bahawa usia muda sudah memadai untuk menampung keletihan ketika mengerjakan ibadah haji.

Namun setelah menjalani pemeriksaan lengkap, barulah beliau menyedari bahawa dirinya dalam kategori obesiti dengan beberapa bacaan kesihatan yang tidak memberangsangkan.

“Doktor menasihatkan saya perlu menurunkan berat badan dan stabilkan tekanan darah.

“Jika tidak, saya mungkin tidak layak mendapat pelepasan untuk mengerjakan ibadah haji apabila dipanggil nanti,” ceritanya ketika ditemui Sinar Islam Plus.

Manasik haji perlu kekuatan fizikal

Katanya, kesedaran untuk menurunkan berat badan bukan sekadar kerana ingin melepasi syarat, tetapi kerana beliau tahu manasik (pelaksanaan) haji menuntut kekuatan fizikal, stamina dan kesabaran tubuh badan yang bukan sedikit.

“Pelbagai risiko penyakit, dehidrasi, strok haba dan komplikasi kronik lebih tinggi jika kita tidak sihat dan cergas,” katanya.

Menyambung ceritanya, golongan obesiti dicatatkan antara orang yang paling berisiko mengalami keletihan melampau, sakit sendi, masalah pernafasan serta kesukaran untuk bergerak di kawasan sesak.

LAKUKAN pemeriksaan kesihatan secara berkala agar tahap kesihatan sentiasa dalam keadaan baik. Foto Canva

Justeru, Ahmad Hilmi berazam untuk berubah dan menjalani gaya hidup yang sihat bersama isteri dan tiga anaknya yang juga berbadan agak gempal.

Sudah hilang 10kg

Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, beliau mula mengurangkan gula dan makanan bergoreng dalam hidangan harian.

“Sekarang saya mula mengamalkan jadual makan teratur dan mula makan makanan yang sihat,” katanya.

Selain itu, hujung minggu dia akan memperuntukkan masa untuk bersenam atau brisk walk selain menyertai kelas kecergasan ringan berhampiran rumahnya di Ampang Jaya, Kuala Lumpur.

LAKUKAN senaman bersama ahli keluarga agar lebih bermotivasi dan seronok. Foto Canva

“Saya juga menetapkan sasaran penurunan berat badan setiap bulan agar lebih bersemangat dan bermotivasi.

“Alhamdulillah, selepas sebulan menjalani gaya hidup sihat selain berpuasa sunat, saya berjaya menurunkan hampir 10 kg dan ia satu keputusan yang positif buat saya.

Beliau berharap dapat menurunkan lagi berat badan kepada tahap ideal demi haji.