SUNGAI PETANI - Lima pelajar dibuang manakala tiga lagi digantung selepas didapati terbabit dalam pergaduhan di sebuah sekolah di sini pada Isnin.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, tindakan tegas diambil dan tiada kompromi terhadap isu buli, keganasan serta salah laku murid.
Menurut kenyataan itu, JPN mengambil serius dalam insiden pergaduhan tersebut yang membabitkan sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah menengah di sini.
"Pihak sekolah selesai menjalankan siasatan dalaman menyeluruh. Hukuman tegas gantung dan buang sekolah sudahpun diambil ke atas murid terlibat," menurut JPN Kedah.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang pelajar tingkatan empat direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang mendakwa dipukul sehingga pengsan di sebuah asrama di sini pada awal pagi Isnin.
Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah oleh guru sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, ibu mangsa menerima panggilan daripada guru sekolah itu pada jam 9.05 pagi, memaklumkan anaknya ditemui pengsan dalam tandas.
Dalam pada itu, JPN turut menasihatkan semua institusi pendidikan di negeri ini agar mematuhi prosedur pengurusan disiplin semasa, mengutamakan keselamatan pelajar dan melaksanakan intervensi pencegahan bagi memastikan kesejahteraan seluruh warga pendidikan terpelihara.