SUBANG JAYA – Penderitaan seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa menjadi mangsa dera ibu saudara serta dua sepupunya berakhir selepas ketiga-tiga suspek diberkas polis dalam serbuan di Putra Heights, di sini, pada Selasa.
Kejadian itu dipercayai melibatkan perbuatan memukul serta penderaan berterusan terhadap kanak-kanak berusia 10 tahun itu yang tinggal serumah dengan suspek.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 2.29 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama suspek yang merupakan ibu saudaranya serta dua sepupu masing-masing berusia 24 tahun dan 17 tahun.
“Kejadian dipercayai melibatkan perbuatan memukul mangsa serta penderaan terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, polis menahan tiga individu terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki, kesemuanya warga tempatan berusia antara 17 hingga 49 tahun.
“Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 6 Februari ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, pihak polis merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan kejadian itu selaras dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk arahan selanjutnya,” katanya.