RANTAU PANJANG - Peniaga unggas di Tersang di sini sanggup menutup kedainya selama tiga bulan bermula November hingga Januari kerana tidak sanggup menanggung kerugian ekoran banjir yang sering melanda kawasan tersebut.
Mohd Hirwan Che Rajiuon, 44, berkata, semenjak pembinaan benteng sekitar tahun 2022 hingga sekarang, banjir sangat luar biasa dalamnya.
"Sebelum ini, air tidak melimpah sehingga ke atas jalan, tapi sejak beberapa tahun ini dengan kedai pun boleh tenggelam.
"Kedai dan rumah saya hanya berjarak sekitar 100 meter dari Sungai Golok, tapi sebelum ini banjir tidak pernah setinggi hingga mencecah lebih 4 meter macam yang berlaku sekarang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ujar Mohd Hirwan, namun sejak tiga tahun ini banjir sangat luar biasa sehingga terpaksa menanggung kerugian yang banyak apabila semua haiwan jualannya seperti burung, itik, angsa dan ayam mati.
Peniaga itu memberitahu, dia terpaksa menanggung kerugian sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sepanjang musim tengkujuh setiap tahun.
"Lebih baik saya tutup kedai selama tiga bulan, pindahkan semua haiwan jualan ke tempat selamat. Hati tenang, kerugian pun tiada," katanya.