SHAH ALAM - Pertubuhan Tenaga GiG Melaka menzahirkan penghargaan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka yang bertindak segera menyelesaikan tuntutan perlindungan dua pekerja p-hailing yang mengalami masalah kesihatan ketika bertugas pada April dan Ogos lalu.
Pengerusi Penajanya, Muhammad Nazli Zainul Abidin berkata, aduan diterima daripada kedua-dua pekerja terbabit yang mendakwa perlindungan di bawah PERKESO ditolak tanpa sempat mengemukakan permohonan.
Menurutnya, Muhammad Azrul Rozelan, 41, disahkan mengalami strok manakala Mohamed Sharfirnaidi Yusof, 38, yang terlibat kemalangan mengalami kecederaan serius pada kaki.
"Muhammad Azrul mendakwa tidak sempat mengemukakan permohonan secara rasmi apabila pihak PERKESO telah menolaknya ketika beliau membuat pertanyaan melalui talian telefon.
"Bagi Mohamed Sharfirnadi yang juga pencarum sejak empat tahun lalu, kesnya ditolak kerana carumannya telah luput seminggu sebelum kemalangan berikutan kekeliruan yang timbul apabila kadar caruman daripada RM40 naik mendadak kepada RM240 tanpa sebarang pengumuman," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Rentetan daripada itu, Muhammad Nazli berkata, satu lawatan diadakan bersama PERKESO sekali gus membantu mengisi maklumat tuntutan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKPSPS).
"Tindakan segera oleh PERKESO itu adalah satu contoh yang baik dalam memastikan kebajikan pekerja ekonomi gig di negeri ini sentiasa menerima perhatian sewajarnya kerana tanpa perlindungan, ia akan menggugat kesinambungan hidup pekerja p-hailing berkenaan.
"Kami juga berharap pihak PERKESO dapat mempercepatkan permohonan kedua-dua mereka lanjutan kehilangan punca pendapatan," katanya.