'Kami angkat abang bersama tilam, tutup dengan plastik supaya tidak basah'

Iklan
Nor Haizul bersama abangnya, Noor Harshah yang ditempatkan di PPS.

KUALA KRAI - Seorang pesakit terlantar terpaksa diusung menggunakan bot sejauh lebih 500 meter dalam cuaca gelap dan hujan lebat apabila air mula memenuhi kawasan Kampung Chenulang di sini pada awal pagi Rabu.

Mangsa, Noor Harshah Mohammad Noor, 38, yang mengalami pendarahan otak sejak kemalangan motosikal pada 2020 dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kira-kira jam 4 pagi.

Iklan
Iklan

Menurut adiknya, Nor Haizul Azwan, 31, hujan berterusan sejak petang Selasa menyebabkan air mula masuk ke rumah sekitar 2 pagi sebelum mencapai paras 1.2 meter di halaman rumah.

“Abang tak boleh bergerak, jadi kami angkat dia bersama tilam dan tutup dengan plastik serta payung supaya tak basah.

Iklan

“Sepuluh orang kampung bantu angkat ke dalam bot ketika itu sebab laluan dah tenggelam,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang di sini pada Rabu.

Pemindahan Noor Harshah dibantu Penghulu Mukim Chenulang, Ab Aziz Isa menggunakan bot milik penduduk kampung.

Iklan

Sebelum itu, ibu adik-beradik berkenaan, Hamidah Loman, 66, menyedari banjir melanda rumah mereka sebaik tersedar dari tidur kerana bunyi hujan lebat sebelum melihat jiran-jiran mula mengalihkan kereta.

“Ini bukan kali pertama usung abang ke PPS.

“Dah lebih 10 kali dalam tempoh lima tahun dia terlantar, kadang setahun tiga kali banjir, tiga kali usung dia ke PPS,” kata Nor Haizul.

Noor Harshah anak ketiga daripada empat beradik itu memerlukan perhatian rapi termasuk diberi susu setiap empat jam melalui tiub yang ditebuk di dada kiri menjadikan perpindahan ke PPS satu cabaran buat keluarganya.

“Biasanya hampir seminggu baru air surut dan boleh pulang ke rumah,” katanya.

Noor Harshah antara 95 mangsa banjir daripada 25 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Chenulang.