KUALA SELANGOR - Seorang ibu yang sedang berpantang bersama bayinya berusia 27 hari mengambil langkah berjaga-jaga ketika berdepan banjir kali ini, meskipun sudah terbiasa dengan kejadian banjir hampir setiap tahun.
Maizatul Akma Abdullah, 26, berkata, banjir kali ini berbeza kerana beliau menghadapinya bersama bayi yang baru dilahirkan dan suami, Zulkifli Jiman, 26, di rumah sewa mereka di Kampung Bukit Hijau di sini.
"Biasanya saya sudah lali redah banjir di kampung saya di Perak, namun kali ini cabaran berbeza sebab saya perlu beri keutamaan kepada bayi yang baru lahir," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, di sini, pada Rabu.
Maizatul Akma memberitahu, bayinya sedikit meragam kerana keadaan panas selepas bekalan elektrik terpaksa diputuskan sejurus air mula memasuki rumah.
"Air mula naik di laman pada Ahad, tapi pagi semalam (Selasa) terus masuk sampai tinggal ruang tamu sahaja yang kering.
"Kami sempat naik kereta sebab mak mentua datang ambil, cuma kalau lambat sikit memang kena naik bot meredah banjir," ujarnya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Suria Abdul Razak, 39, berkata, air mula memasuki rumahnya kira-kira jam 7 malam pada Selasa dan meningkat mendadak pada pagi Rabu.
Suria memaklumkan kejadian banjir bukan perkara luar biasa di kawasan itu, dan rumahnya biasanya dinaiki air tiga hingga empat kali setahun bergantung kepada hujan dan cuaca.
Menurutnya, banjir kali ini berlaku terlalu cepat selepas aliran air dari bahagian belakang kampung bergerak laju menuju ke kawasan rumahnya di Kampung Parit Mahang.
"Air macam tak surut lagi sejak malam tadi dan saya bimbang berlarutan beberapa hari lagi jika hujan berterusan," tambahnya.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Fikri Noren, 30, berkata, banjir mula menenggelamkan sebahagian kawasan kediamannya di Kampung Bukit Hijau kira-kira jam 10 malam Selasa.
Katanya, dia bersama isteri dan seorang anak hanya berpindah ke PPS pada pagi Rabu selepas keadaan tidak lagi selamat.
Mengulas punca banjir, Muhammad Fikri berkata, aliran air deras dari kawasan tinggi serta hujan lebat menyebabkan air mengalir terus ke kawasan rumahnya yang terletak di cerun rendah.
“Mungkin air hujan dari bukit turun masuk ke kawasan rendah, jadi rumah memang dilimpahi air,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa paras air masih belum menunjukkan tanda-tanda surut setakat tengah hari Khamis.
“Kita tak pasti bila air akan surut sebab sekarang pun paras makin naik dan bimbang bertambah buruk,” katanya.