LZS sasar polis Selangor sumbang kutipan zakat RM2.2 juta

Iklan
Mohd Khaidir (kiri) menyerahkan wakalah majikan kepada Shazeli di IPK Selangor, Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM2.2 juta daripada warga polis Selangor menerusi pengukuhan skim potongan gaji tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidir Shahari berkata, sasaran itu susulan potensi besar penyertaan lebih 10,000 anggota yang belum menunaikan zakat meskipun menetap dan bertugas di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, jika setiap anggota menyumbang serendah RM10 sebulan, sasaran itu mampu dicapai secara realistik.

"Menerusi skim pemotongan gaji, kaedah bayaran lebih konsisten dan sistematik memperkukuh peranan zakat sebagai sistem perlindungan sosial kepada asnaf," katanya pada taklimat khas zakat 'Anda Hero Asnaf' di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini pada Jumaat.

Iklan

Pada program itu, beliau turut menyerahkan Wakalah Majikan berjumlah RM126,162 kepada IPK berkenaan dan 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif itu yang diharap memberi manfaat berterusan kepada warga polis.

Iklan

"Ini melibatkan aspek kebajikan, pendidikan dan sokongan sosial kepada keluarga anggota," tambah beliau.

Tahun lalu, kutipan zakat menerusi skim potongan gaji warga kontinjen itu direkodkan berjumlah RM1.03 juta dengan melibatkan 2,736 anggota.

LZS menerusi kempen Anda Hero Asnaf, Ayuh Berzakat Sang Saka Biru menawarkan dua kategori penyertaan iaitu Wira Prihatin dengan sumbangan RM10 sebulan manakala Wira Harapan sebanyak RM50.