Pengasas eHATI, kaunselor dikenakan waran tangkap

Iklan
Pengasas eHati dan kaunselornya tidak hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah bagi menghadapi pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995

SHAH ALAM - Pengasas eHati dan kaunselornya dikenakan waran tangkap kerana tidak hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu, bagi menghadapi pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Hakim Syarie, Dr Zainal Abidin Kusmin mengeluarkan perintah terhadap Nur Diyanah Md Tahir dan Zatul Asmah Mat Isa selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie, Husaini Roslin.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding, rakan kepada Nur Diyanah selaku penjamin, dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai ketidakhadiran wanita itu di mahkamah.

Menurutnya, pertolongan menjadi penjamin tidak lebih kepada sifat belas kasihan kerana keluarga sendiri tidak hadir untuk membantu.

Iklan

"Saya berkawan dengan dia sejak 2021 tapi tidak pernah ke rumahnya," katanya yang bekerja sebagai seorang doktor.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan pihak berkuasa membuat carian Imigresen terhadap pengasas program motivasi kontroversi tersebut yang beralamat di Damansara.

Iklan

Hakim Syarie juga memberi kuasa kepada pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam menahan kaunselor yang juga seorang pegawai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di utara Semenanjung, yang beralamat di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Beliau menetapkan sebutan semula pada 5 Mac tahun depan.

Pada 14 November lalu, Sinar Harian melaporkan pengasas motivasi kontroversi eHATI dan suaminya dipercayai melarikan diri ke luar negara sebelum hadir ke mahkamah bagi prosiding pertuduhan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, polis telah mengenal pasti lokasi terbabit iaitu sebuah negara di Asia Tenggara.

Terdahulu, polis menerima laporan berkaitan program motivasi rumah tangga didakwa songsang dan terpesong berlangsung pada bulan September tahun lalu di sebuah pusat konvensyen di sini.

Berikutan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu diambil agar maklumat diperoleh dengan jelas sebelum sebarang tindakan wajar diambil, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.