Israel akan bawa pulang 5,800 komuniti Yahudi dari India

Iklan
Anak-anak komuniti berkenaan. - Agensi

YERUSALEM - Kerajaan Israel meluluskan cadangan untuk membawa masuk kesemua baki 5,800 anggota komuniti Yahudi Bnei Menashe dari wilayah timur laut India dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Agensi Yahudi untuk Israel, keputusan yang diumumkan pada Ahad itu merupakan satu “inisiatif berskala besar” bagi menyelesaikan proses Aliyah, iaitu penghijrahan masyarakat Yahudi ke Israel.

Iklan
Iklan

“Keputusan bersejarah ini akan membolehkan kira-kira 5,800 anggota komuniti berkenaan berhijrah ke Israel menjelang 2030, termasuk 1,200 yang telah pun diluluskan bagi tahun 2026,” kata kenyataan itu.

Buat pertama kali, Agensi Yahudi akan mengetuai keseluruhan proses pra penghijrahan, termasuk temu duga kelayakan bersama Ketua Rabinat Israel, Pihak Berkuasa Penukaran Agama, serta Pihak Berkuasa Penduduk dan Imigresen.

Iklan

Agensi itu turut akan menguruskan penerbangan calon layak dan proses penempatan mereka di Israel.

Pelan tersebut dijangka memerlukan peruntukan khas sebanyak 90 juta shekel Israel (RM 113.4 juta) bagi menampung kos penerbangan, kelas penukaran agama, penginapan, pembelajaran bahasa Hebrew dan manfaat lain.

Iklan

Cadangan itu dibentangkan kepada Kabinet oleh Menteri Imigresen dan Integrasi, Ofir Sofer. Satu delegasi profesional yang terdiri daripada kumpulan rabbi dijangka berangkat ke India dalam masa terdekat.

“Ia merupakan delegasi terbesar setakat ini dan yang pertama selepas lebih sedekad. Delegasi berkenaan akan menemuduga separuh pertama komuniti tersebut, melibatkan kira-kira 3,000 Bnei Menashe yang mempunyai ahli keluarga peringkat pertama di Israel,” menurut kenyataan itu.

Proses penghijrahan ini akan diselaraskan bersama Ketua Rabinat, Pihak Berkuasa Penukaran Agama, Kementerian Aliyah dan Integrasi, Kementerian Luar, serta beberapa kementerian lain.

Pada peringkat awal penghijrahan komuniti itu, majoriti mereka ditempatkan di Tebing Barat. Namun kebelakangan ini, kumpulan baharu ditempatkan di bandar-bandar utara Israel, termasuk Nof Hagalil sebuah bandar campuran Yahudi-Arab berhampiran Nazareth yang dijadikan lokasi utama penempatan semula.

Kerajaan memutuskan bahawa kumpulan baharu yang akan tiba dalam beberapa tahun mendatang turut akan ditempatkan di kawasan sama.

Agensi Yahudi dalam kenyataan menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai satu usaha nasional yang “bermakna, berteraskan nilai dan amat menyentuh hati,” serta menegaskan penglibatan profesional mereka penting bagi memastikan kejayaan inisiatif tersebut.

Komuniti Bnei Menashe sebelum ini menjadi perdebatan panjang berkaitan status keYahudian mereka. Namun pada 2005, Ketua Rabbi komuniti Sephardi ketika itu, Rabbi Shlomo Amar, mengiktiraf mereka sebagai “keturunan Israel”, sekali gus membuka jalan kepada penghijrahan mereka ke Israel.

Bnei Menashe mendakwa mereka merupakan keturunan suku Menashe, salah satu daripada 10 suku Israel purba yang diusir oleh Empayar Assyria kira-kira 2,700 tahun lalu.

Ketika ini dianggarkan 2,500 anggota komuniti berkenaan telah pun menetap di Israel, dan laporan media tempatan menyebut bahawa kebanyakan golongan muda Bnei Menashe menyertai unit tempur dalam Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Agensi Yahudi ialah sebuah organisasi antarabangsa berpangkalan di Israel yang bertujuan memperkukuh Israel serta masyarakat Yahudi sedunia dengan memartabatkan Aliyah sebagai teras utama misinya.-Agensi