JASIN - Seorang pensyarah wanita berusia 40 tahun kerugian hampir RM1 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan keuntungan dalam tempoh hanya dua hingga lima minit.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, dalam kejadian antara Julai hingga Oktober lalu, mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan belajar saham di media sosial sebelum menekan pautan tersebut dan berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, mangsa diarahkan memuat turun sebuah aplikasi melalui pautan yang diberikan suspek sebelum mendaftar akaun pelaburan.
“Bermula 1 September hingga 18 Oktober 2025, mangsa membuat 20 transaksi pindahan wang ke sembilan akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek dengan jumlah keseluruhan RM914,758.82.
“Mangsa menggunakan duit simpanan, pinjaman bank dan pinjaman daripada ahli keluarga untuk melabur.
“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan keuntungan seperti dijanjikan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan RM20,000 sebagai yuran suku tahunan kononnya sebelum keuntungan dapat dikeluarkan.
Katanya, mangsa yang menyedari dirinya ditipu akhirnya hadir ke Balai Polis Jasin pada Ahad lalu untuk membuat laporan.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam masa itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
Katanya, orang ramai disaran membuat semakan nombor telefon, akaun bank atau nama syarikat mencurigakan di portal Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi.
Beliau turut menasihatkan mangsa penipuan agar segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dalam tempoh 24 jam bagi meningkatkan peluang menyekat transaksi yang dibuat.