SHAH ALAM - World #QuranConvention 2025 (WQC 2025) yang akan berlangsung pada 6 hingga 7 Disember ini bakal mengetengahkan model kerangka 12 wilayah ekonomi (Saff) sebagai usaha merangka solusi pembangunan ekonomi global berlandaskan wahyu dan panduan Al-Quran.
12 Saff ekonomi tersebut merangkumi sektor keusahawanan halal, kesihatan dan kesejahteraan, keselamatan makanan, pembangunan wanita serta pendidikan.
Selain itu, ia turut meliputi kewangan Islam, inovasi teknologi, pembangunan belia, seni dan budaya, kelestarian persekitaran, pembangunan komuniti serta tadbir urus berintegriti yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, kerangka strategik tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Dengan model 12 Saff itu, ia diharap dapat memperkembangkan kajian ekonomi berasaskan wahyu dan meneliti kandungan ayat-ayat al-Quran.
“Kita berharap ia dapat melahirkan inovasi yang dibangunkan, dibuktikan dan akhirnya dibumikan melalui ayat-ayat al-Quran.
“Ia selaras dengan tema kita ‘From Revelation to Innovation’ yang membawa maksud bahawa daripada wahyu, lahirlah inovasi,” katanya kepada Sinar Harian.
WQC 2025 menghimpunkan tokoh ekonomi global, sarjana, usahawan dan penggerak komuniti bagi memperkukuh pemahaman tentang ekonomi Islam moden.
Ia membawa mesej mendalam melalui konsep ‘Trade With ALLAH’, dengan Surah Al-Saff dijadikan asas perbincangan bagi menyorot makna Tijarah iaitu perdagangan dan urusan ekonomi yang berteraskan keikhlasan, amanah serta keseimbangan spiritual.
Penganjuran program tersebut akan berlangsung di Perdana Hall, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Kuala Lumpur, bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.
Ujar Marhaini, program yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan kehadiran Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menampilkan barisan penceramah seperti Pengarah Bayyinah Institute, Nouman Ali Khan; Ketua Pegawai Eksekutif Oxford Intellect, Dr Imran Alvi dan Pengarah Urusan Dagang NeXchange Bhd, Tan Sri Syed Zainal Abidin.
“Keunikan di tahun kelima penganjuran program ini adalah kami mula fokus kajian al-Quran berkait ekonomi, mulai tahun ini dan 10 tahun ke depan.
“WQC 2025 adalah peluang terbaik untuk pemimpin menghubungkan perniagaan dan dasar ekonomi melalui persepsi al-Quran, membina jaringan, merangka strategi kerjasama nasional dan paling penting menjadi generasi yang menghidupkan ekonomi ihsan,” ujarnya.
Kata Marhaini, orang ramai juga berpeluang menyertai konvensyen tersebut dan boleh melayari laman web rasmi WQC di www.worldquranconvention.com untuk mendaftar.
“Tiket individu berharga RM500, manakala pakej penyertaan kumpulan ditawarkan pada harga RM10,000 dengan pelbagai faedah seperti sijil penyertaan dan sesi latihan eksklusif,” kata beliau.