SUV dinaiki tiga lelaki warga asing rempuh kenderaan polis terbabas langgar tiang lampu

Iklan
Kesemua suspek berjaya diberkas polis

KUALA LUMPUR – Cubaan tiga suspek warga Indonesia melarikan diri bagi mengelak pemeriksaan polis gagal apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang lampu berhampiran Bank Negara di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, dalam kejadian pada jam 12.15 tengah hari, sepasukan anggota rondaan cegah jenayah cuba menahan sebuah SUV jenis Honda HR-V yang dikesan dalam keadaan mencurigakan di sekitar Chow Kit.

Iklan
Iklan

"Suspek bertindak agresif apabila merempuh anggota polis yang cuba melakukan pemeriksaan sebelum melarikan diri menuju ke Jalan Kuching dan memasuki kawasan berhampiran Bank Negara.

“Ketika melarikan diri, suspek melanggar beberapa kenderaan awam dan sebuah motosikal sebelum anggota kami berjaya mengejar dan menyekat SUV terbabit,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian pada Selasa.

Iklan

Kereta yang dipercayai dipandu suspek.

Sazalee berkata, SUV itu kemudian terbabas lalu merempuh tiang lampu dan sebatang pokok, sebelum pemandunya keluar dari kenderaan dan nekad terjun dari tebing curam berdekatan untuk melarikan diri.

Iklan

"Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila suspek cedera akibat terjatuh dari cerun tersebut. Seorang lagi suspek ditahan ketika cuba menyorok di dalam kawasan hutan berhampiran, manakala suspek ketiga tidak sempat melarikan diri."

“Dua suspek yang cedera telah dihantar ke hospital, manakala seorang lagi dibawa ke balai untuk tindakan lanjut. Anggota kami yang dirempuh turut mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati kenderaan berkenaan milik seorang lelaki tempatan, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ia dicuri atau terbabit dengan sebarang aktiviti jenayah.

“Kita masih menyiasat motif mereka melarikan diri. Semua kemungkinan sedang diteliti dan soal siasat akan dilakukan terhadap kesemua suspek,” katanya.