Banjir: Bantuan makanan mangsa terkandas Hatyai dikumpul di Sadao

Iklan
Pemandangan dari tingkat 5 Wangburapa Grand Hotel, tempat menginap pelajar UUM yang terkepung banjir di Hatyai. Gambar kecil: Ahmad Qushayri

BUKIT KAYU HITAM - Bantuan makanan untuk rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai dikumpulkan dengan bantuan Majlis Perbandaran Sadao sejak Ahad.

Ahli perniagaan Malaysia di Hatyai, Ahmad Qusyairi Ahmad Zaini, 38, berkata, pengumpulan barangan dilakukan dengan inisiatif sukarelawan sebaik sahaja mengetahui kejadian bencana yang berlaku sehingga menyebabkan ribuan rakyat Malaysia terkandas.

Iklan
Iklan

"Bantuan seperti barangan keperluan makanan, ubat-ubatan serta lampin pakai buang selain susu untuk bayi dihantar segera oleh sukarelawan dari kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) berikutan mangsa yang berada di sana tidak dapat keluar akibat banjir teruk," katanya.

Menurutnya, langkah itu diambil atas rasa prihatin dan simpati bagi memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat negara ini terjamin.

Iklan

"Kami mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Sadao untuk kumpulkan barangan bantuan yang dihantar beberapa NGO yang sudah masuk ke sana kelmarin di satu pusat pengumpulan," katanya.

Menurut Ahmad Qusyairi, terdapat juga NGO yang hadir dengan menyediakan bantuan bot semata-mata bertujuan membantu mangsa banjir terkandas di hotel untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Iklan

"Masalah yang dihadapi sekarang ini, barangan makanan tak ada, bekalan elektrik pula terputus malah ada antara mereka sukar dihubungi disebabkan telefon bimbit tidak berfungsi.

"Namun kita sentiasa berhubung dan mengesan rakyat Malaysia yang masih menunggu di hotel atau di tempat perlindungan bagi menghantar bekalan makanan, lampin pakai buang, minuman serta susu bayi," katanya.

Jelasnya, setakat ini, kesemua bantuan yang dikumpulkan diselaraskan mengikut keperluan namun mengambil kira arahan pihak berkuasa tempatan berikutan paras air banjir yang meningkat.

Ahmad Qusyairi yang berniaga sejak enam tahun lalu di sana berkata, restoran miliknya di sana juga turut ditenggelami air sehingga mencecah satu meter.

Katanya, segala barangan dalam restoran itu tidak dapat diselamatkan kerana air naik secara mendadak.

"Dalam restoran itu ada disimpan bahan mentah untuk masakan selain kerusi meja dan beberapa barangan lain yang turut tenggelam.

"Kerugian yang dialami dianggarkan hampir RM50,000 malah rumah saya juga dinaiki air dan isteri saya terperangkap di sana.

"Setakat ini saya nak pergi ke Hatyai pun tak boleh lagi kerana hanya kenderaan berat seperti lori dan bot saja yang boleh melalui kawasan banjir kerana saya dimaklumkan air semakin naik," katanya.

Tambahnya, bandar Hatyai kini ibarat lumpuh apabila banyak premis perniagaan, kediaman dan kenderaan ditenggelami banjir.

Ahmad Qusyairi berkata, mereka juga sudah bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir disebabkan hujan berterusan sejak Isnin yang menyebabkan paras air tinggi.

"Kita cuba menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi untuk mendapatkan alamat dan jumlah rakyat Malaysia yang terkandas untuk dihantar barangan seperti ubat-ubatan, susu, makanan dan lampin pakai buang.

"Selain itu saya dimaklumkan, semua bas pelancong dan ekspres semua berhenti di Pekan Danok kerana laluan masuk ke Hatyai yang turut terjejas," katanya.