KUALA LUMPUR - Keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memaksa kerajaan atau enam pihak lain di Mahkamah Tinggi di sini untuk melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkannya menjalani hukuman penjara di rumah atau tidak, diawalkan kepada 22 Disember depan.
Tarikh asal yang ditetapkan pada 5 Januari 2026, diawalkan beberapa hari menjelang sambutan Krismas.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan tarikh itu selepas prosiding pengurusan kes dibuat secara dalam talian di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching.
Berdasarkan surat yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Syeela Marlina Uttaman, pihak firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib, 72, memohon mahkamah mempertimbangkan semula tarikh keputusan tahun hadapan.
Menurut surat itu, bekas Ahli Parlimen Pekan terbabit telah menjalani hukuman di Penjara Kajang hampir dua tahun lalu sejak Titah Adendum dikeluarkan.
Katanya, ia melebihi perkara yang sepatutnya berlaku kerana titah berkenaan jelas memperuntukkan bahawa Najib boleh menjalani baki hukuman penjara di rumah.
“Sehingga hari ini, Najib masih ditahan di penjara disebabkan perjalanan prosiding ini.
“Setiap hari yang dihabiskan dalam tahanan merupakan hari yang tidak akan dapat dikembalikan kepadanya,” katanya.
Lebih-lebih lagi, surat itu menyatakan bahawa pada 13 Ogos lalu, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memerintahkan prosiding ini dimuktamadkan sebelum 14 September.
Katanya, Hasnah menekankan kepentingan menyelesaikan perkara berkenaan dengan segera memandangkan ia melibatkan isu kebebasan seorang individu.
Menurutnya, penahanan yang berterusan ini menafikan kebebasan seseorang dan bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja melindungi kebebasan fizikal tetapi juga maruah serta keselamatan individu.
Katanya, penahanan yang begitu lama menyebabkan Najib mengalami tekanan emosi yang serius, trauma dan kemerosotan ketara terhadap keadaan mental serta kesejahteraannya secara keseluruhan.
Ia turut menyatakan, perkara tersebut dibawa ke mahkamah kerana tarikh keputusan kian menghampiri tempoh dua tahun sejak Titah Adendum yang sepatutnya dikuatkuasakan terhadap bekas Presiden UMNO itu.
“Dalam keadaan luar biasa ini dan atas arahan tegas anak guam yang semakin tertekan oleh kelewatan yang berpanjangan, kami dengan rendah diri dan penuh hormat memohon mahkamah mempertimbangkan semula serta mempercepatkan tarikh keputusan,” kata surat itu.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib juga memohon perintah bahawa jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta-merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd., memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.