TENOM - Dari sekadar idea perpustakaan pada 2016, kini beberapa sekolah pedalaman di Sabah berjaya mencatatkan pencapaian luar biasa melalui program English for Life apabila ia berkembang menjadi Pusat Kecemerlangan English For Life.
Penasihat English for Life, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, usaha tanpa henti guru, pelajar dan komuniti membuktikan bahawa kecemerlangan boleh dicapai walaupun pada permulaan tidak mudah.
"Perjalanan ini tidak mudah. Dari idea awal pada tahun 2016, sekadar konsep perpustakaan ia kelihatan mustahil namun dengan keberanian, keyakinan dan usaha tanpa henti, kita berjaya membina pasukan, memperjuangkan impian dan menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan hari ini.
"Perjalanan anda membuktikan bahawa dengan visi dan tekad, yang mustahil boleh jadi kenyataan," katanya yang juga Penasihat Kumpulan Karangkraf menerusi satu rakaman video baru-baru ini.
Terdahulu, tujuh sekolah di Sabah menerima pengiktirafan sebagai FOL Centres of Excellence selepas membuktikan pencapaian cemerlang dalam Program English for Life (EFL) pada Majlis Penyampaian Geran Musim 2 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kemabong pada September lepas.
Pengiktirafan itu turut disertai pemberian geran RM1,000, sijil dan trofi kepada setiap sekolah selepas berjaya menepati petunjuk pretasi utama (KPI) dua tahun, sekali gus menggambarkan komitmen mereka terhadap pendidikan Bahasa Inggeris bersifat transformasi di kawasan luar bandar.
Beliau memaklumkan, sebanyak tujuh sekolah diiktiraf sebagai penerima geran Super7 Pusat Kecemerlangan English For Life iaitu SK Kungkular, SK Pangi, SK Simpang, SK Kemabong, SK Tilis, SK Sungai Api dan SK Pandiwan.
"Inilah pengiktirafan berprestij. Super7 telah berjuang mengatasi segala kekangan, meskipun dengan kemudahan dan sumber yang terhad dan membuktikan bahawa kecemerlangan ditentukan bukan oleh apa yang dimiliki, tetapi oleh semangat, ketabahan dan kerjasama. Anda adalah perintis yang menetapkan standard untuk orang lain ikuti," ujarnya.
Hussamuddin menyifatkan dedikasi, kreativiti dan ketabahan sekolah terlibat amat menginspirasikan.
"Saya ingin menekankan bahawa pembangunan modal insan tidak hanya berlaku dalam bilik darjah. Pembelajaran sebenar berlaku apabila pelajar berinteraksi dengan komuniti, meneroka persekitaran dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
"Itulah sebabnya penglibatan panel pakar daripada pengusaha hotel, juruterbang, ahli geologi, doktor perubatan hutan, maestro hingga wartawan amat berharga," tambahnya.
Beliau memberitahu, penglibatan panel pakar membuktikan bahawa Bahasa Inggeris dan Kemahiran Hidup bukan sekadar mata pelajaran, sebaliknya alat penting untuk berjaya dalam dunia sebenar.
Ujarnya, pengiktirafan itu merupakan hasil usaha gigih akar umbi yang dibina dengan kesungguhan berterusan, sekali gus merakamkan ucapan tahniah kepada Pasukan FOL dan guru-guru Ikon Guru Penyayang-Mind Warriors yang menjadi tulang belakang program ini.
"Saya juga berbangga kerana Sinar Harian menjadi rakan media rasmi dalam usaha murni yang memberi platform untuk memperkukuh suara guru-guru dan pelajar serta meraikan pencapaian mereka bersama masyarakat luar,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengasas Bersama English for Life, Abidin Marjan atas keberanian serta visi yang membangunkan program tersebut.
“Daripada kosong hingga menjadi gerakan yang berkembang, program ini membuktikan kekuatan visi, kerjasama dan komuniti," ujar Hussamuddin lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menzahirkan penghargaan juga kepada para penyumbang, sukarelawan dan Jawatankuasa Pemandu yang diketuai Irwan @ Bob Gabi @ Petrus (SK Pandiwan) serta Datu Abdul Wahid Datu Kamaruddin (SK Simpang) atas usaha gigih mereka.
Program English for Life bermula pada 2023 melalui kerjasama pintar antara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Forces of Love kini berkembang daripada 10 kepada lebih 20 sekolah di seluruh Sabah.
Kurikulum program berasaskan empat tonggak utama iaitu Sales & Marketing 101, Highly Immersive English Programme (HIP), Inovasi (STEM dan robotik) serta Little Tourism Ambassadors merangkumi aktiviti penceritaan dan kewartawanan digital.
Melalui pendekatan terbabit, Bahasa Inggeris diletakkan sebagai alat meningkatkan keyakinan, kebolehpasaran dan keusahawanan dalam kalangan murid.
Setakat ini, English for Life memberi manfaat kepada lebih 1,900 murid pedalaman melibatkan 20 sekolah dengan lebih 10,800 bahan pendidikan diagihkan termasuk kit STEM, buku serta kamus bernilai lebih RM100,000.
Musim 2 juga menyaksikan pengedaran 11 palet pakaian baharu untuk menyokong modul Sales & Marketing sekali gus memberi latihan keusahawanan secara praktikal kepada murid.
Forces of Love komited meneruskan usaha menaik taraf sekolah ke status FOL Centre of Excellence bagi memastikan setiap anak di pedalaman Sabah mendapat akses kepada pendidikan yang mampu mengubah masa depan mereka.