KUALA LUMPUR - Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah), syarikat amanah patuh Syariah digital terbesar di Malaysia, memperkenalkan teknologi hibah fintech generasi baharu yang bakal merevolusikan industri pewarisan harta Islam serta memperkukuh kedudukan Wasiyyah sebagai peneraju inovasi digital dalam sektor ini.
Teknologi terbaharu ini dibangunkan berasaskan kejayaan Wasiyyah pada tahun 2023, apabila syarikat tersebut mencipta sejarah sebagai entiti pertama di dunia yang melaksanakan akad hibah digital sepenuhnya tanpa kertas melalui aplikasi mudah alih UsraHDD.
Akad hibah digital tanpa kertas pertama di dunia ini (UsraHDD) telah terbukti berkesan dan mendapat sambutan baik masyarakat dengan lebih 7,000 orang telah menggunakannya sejak pelancarannya sehingga hari ini.
UsraHDD menghimpunkan pemberi hibah, penerima hibah dan saksi dalam satu sesi akad hibah secara digital pada masa sebenar (realtime), membolehkan mereka menyempurnakan akad tersebut dari mana-mana lokasi di seluruh dunia.
Kaedah hibah ini juga telah memperoleh perintah pengesahan hibah daripada Mahkamah Syariah, sekali gus membuktikan keabsahannya dari sudut undang-undang Syariah dan Hukum Syarak.
Bagi menambah nilai kepada masyarakat serta memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, teknologi hibah fintech yang diperkenalkan hari ini merupakan evolusi lanjutan yang menampilkan ciri automasi lebih canggih, pelaksanaan masa nyata serta akses pengguna yang lebih mudah pada masa hadapan.
Versi aplikasi mudah alih lengkap untuk kegunaan orang ramai dijangka dilancarkan pada April 2026. Bagaimanapun, Wasiyyah telah memulakan pelaksanaan fasa pertama melalui kerjasama strategik dengan beberapa organisasi yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pendekatan berfasa ini memastikan teknologi tersebut diuji, ditambah baik dan dioptimumkan sepenuhnya sebelum dibuka kepada semua pengguna di Malaysia.
Menerusi platform teknologi baharu ini, pemberi hibah akan dapat melaksanakan akad hibah harta mereka secara digital kepada Wasiyyah sebagai penerima hibah pada bila-bila masa, 24 jam sehari, 365 hari setahun.
Sebagai pemegang amanah yang dilantik di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100), Wasiyyah akan mengurus dan mengagihkan harta tersebut kepada pihak yang ditetapkan oleh pemberi hibah, selaras dengan arahan yang diberikan.
“Komitmen kami jelas, iaitu untuk terus memacu transformasi digital dalam urusan hibah dan pewarisan harta Islam di Malaysia,” kata Ariffin Sabirin, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah.
“Teknologi yang kami perkenalkan hari ini merupakan satu lonjakan besar dalam industri. Ia membolehkan hibah dilaksanakan dengan lebih cepat, selamat serta patuh Syariah dan undang-undang," katanya.
Pada peringkat awal, katanya, kaedah hibah fintech ini hanya melibatkan harta alih seperti wang simpanan, dan pelaksanaannya adalah secara perniagaan-ke-perniagaan (B2B).
Beliau berkata, penyelidikan lanjutan sedang dijalankan untuk meluaskan skopnya kepada jenis harta lain pada fasa seterusnya.
“Kami menjangkakan sambutan terhadap teknologi ini akan lebih baik, khususnya daripada golongan muda yang celik teknologi kerana ia merupakan aplikasi yang mesra pengguna dan amat memudahkan, di mana pemberi hibah boleh melaksanakan akad pada bila-bila masa,” tambah Ariffin.
Teknologi ini dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran dalaman Wasiyyah yang terdiri daripada anak-anak tempatan.
Dengan pengenalan teknologi hibah fintech generasi baharu ini, Wasiyyah dijangka terus memperkukuh kedudukannya sebagai pelopor digital dalam urusan hibah dan penyelesaian pewarisan harta Islam di Malaysia.