MELAKA - Kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan rasmi dakwaan sebuah madrasah di Melaka Tengah didakwa memukul dan mendera pelajar seperti tular di media sosial
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, walaupun sebelum ini terdapat kes serupa melibatkan beberapa madrasah swasta di negeri ini, namun tiada aduan baharu diterima setakat ini.
Menurutnya, setakat ini dakwaan yang tular hanyalah maklumat daripada media sosial dan belum disahkan melalui saluran aduan rasmi.
“Pegawai-pegawai institut pendidikan sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti sekolah yang dimaksudkan.
"Lebih baik aduan dibuat terus kepada pihak kami untuk tindakan segera,” katanya katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Molek sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis Sijik Pelajaran Malaysia (SPM) pada Selasa.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata demikian ketika diminta mengulas tular dakwaan bekas pelajar madrasah berkenaan mendedahkan berlaku penderaan fizikal serta pengabaian kebajikan pelajar sepanjang tempoh tiga tahun belajar di pusat berkenaan.
Dakwanya, pemilik madrasah kerap mengasari pelajar selain mereka dilarang menceritakannya kepada ibu bapa atau pihak luar.
Madrasah berkenaan juga dikatakan tidak memaklumkan ibu bapa sekiranya pelajar jatuh sakit walaupun dalam keadaan serius.
Rahmad berkata, kerajaan negeri dan Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) sentiasa memantau dakwaan seumpama itu, namun tindakan lanjut hanya dapat diambil jika laporan rasmi dikemukakan.
“Memang ada berlaku beberapa kes sebelum ini membabitkan madrasah milik pihak swasta tapi seruan saya kepada pelajar dan ibu bapa, terus buat aduan kepada kami...Insya-ALLAH kami akan tangani sebaik-baiknya.
"Kerana ada beberapa juga madrasah telahpun kita tutup operasinya disebabkan kes-kes sebegini beberapa tahun lepas," katanya.
Rahmad berkata, antara madrasah yang pernah diambil tindakan termasuk di kawasan Paya Rumput dan Sungai Petai.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 13,358 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun ini di 100 pusat peperiksaan di Melaka dengan peperiksaan bertulis bermula 25 November hingga 23 Disember.
Daripada jumlah itu seramai 11,371 merupakan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan di 76 sekolah.
Diikuti 694 calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM termasuk MRSM, Henry Gurney dan Tunas Bakti.
Selain itu, 21 calon sekolah agama negeri, 206 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM dan 1,066 calon persendirian.