SHAH ALAM – Seorang penduduk di Kampung Jawa, Klang gagal dalam saman terhadap Pentadbir Tanah Klang di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, berhubung pengambilan tanah bagi projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Hakim, Datuk Khadijah Idris memutuskan demikian selepas menolak saman dibuat S Subramaniam terhadap pentadbir itu selaku defendan.
Lelaki berkenaan memohon mahkamah mengeluarkan perintah bahawa, notis yang dikeluarkan mengikut Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 sebagai tidak boleh dikuatkuasakan.
Dalam keputusan terbabit, mahkamah berpendapat, Seksyen 56 akta itu tidak menjadikan kegagalan defendan untuk menyerahkan notis kepada Subramaniam dan 18 pihak lain sebagai tidak sah.
Sebaliknya beliau berkata, seksyen itu menyatakan, sebarang peninggalan atau ketidakaturan dalam penyampaian notis tidak akan menjejaskan proses pengambilan tanah.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan pemohon membayar kos RM5,000 kepada defendan yang diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib @ Hamid.
Sementara itu, ketika dihubungi media, peguam, R Kengadharan yang mewakili pemohon berkata, defendan masih memerlukan perintah mahkamah untuk mengosongkan pemilik tanah kerana notis itu hanya bersifat pentadbiran.
Pada 3 November lalu, kerajaan Selangor telah meluluskan lanjutan dua minggu sehingga 24 November, kepada 19 penduduk kampung itu, selepas mereka diarahkan mengosongkan tanah bagi pembinaan jalan tersebut.
Lebuhraya itu meliputi jarak 233 kilometer menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak dan ia direka sebagai alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah mengesahkan penangguhan itu, menyatakan bahawa surat rasmi penangguhan telah dikemukakan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang.
Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan permintaan penduduk yang memohon diberi masa untuk menguruskan pemindahan.
Bagaimanapun, beliau berkata, projek itu perlu diteruskan tanpa kelewatan lagi dan semua penduduk terlibat telah ditawarkan penempatan sementara melalui Skim SMART Sewa.
Katanya, mereka juga telah menerima pampasan sewajarnya daripada konsesi WCE.
Pada 3 November, Borhan mengumumkan tempoh tujuh hari untuk penduduk mengosongkan kawasan.
Keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat bersama penduduk dan agensi berkaitan.
Pihak yang terlibat termasuk syarikat WCE, Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta pihak berkuasa tempatan.