SHAH ALAM - Daging kijang yang dirampas susulan penahanan dua lelaki tempatan di Felda Lawin Utara, Gerik di Perak Jumaat lalu dipercayai dijadikan sebagai juadah sendiri dan dijual kepada kenalan terdekat.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek disyaki pemburu haram berdasarkan sitaan dua laras senjata api buatan sendiri serta peluru hidup.
"Suspek juga disyaki memburu di kawasan hutan simpan berhampiran.
"Siasatan awal jabatan (Perhilitan) mendapati, daging hidupan liar yang diburu adalah untuk makanan sendiri dan ada juga dijual kepada kenalan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambahnya, anggaran harga daging kijang di pasaran gelap sekitar RM200 setiap kilogram.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pemeriksan ke atas sebuah pacuan empat roda jenis Suzuki Jimny dalam keadaan mencurigakan membongkar aktiviti dipercayai pemburuan haram dua lelaki di Felda Lawin Utara Jumaat lalu.
Tangkapan dilakukan Perhilitan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 menerusi Op Bersepadu Khazanah Zon Utara Siri 11/2025 kira-kira jam 1.05 petang sebelum pemeriksaan dalam kenderaan terbabit menemui satu longgokan daging disyaki kijang, selain dua laras senjata api buatan dan tiga butir peluru hidup.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 40 hingga 60-an telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik untuk siasatan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Senjatapi 1960 (Akta 206).