SOOK - Dalam kemeriahan kempen Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dengan pelbagai janji dan tawaran parti politik, realiti hidup sebahagian besar rakyat Sabah terutama di kawasan pedalaman masih dibelenggu isu miskin tegar, pendapatan tidak menentu serta kesukaran untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik.
Bagi seorang ibu muda, Viliah Lagada, 32, yang menetap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, satu-satunya harapan besarnya kini adalah memastikan enam anaknya menerima pendidikan sempurna, sesuatu yang tidak pernah dicapainya akibat tekanan hidup sejak kecil.
Menurut Viliah, pendapatan sekitar RM500 sebulan yang diperoleh keluarganya hanya bergantung kepada hasil kerja rencam seperti memotong getah, bercucuk tanam sendiri dan suami mengambil upah membuat rumah.
"Kalau boleh saya mahu akses pendidikan untuk anak-anak terjamin iaitu dari segi bantuan kewangan daripada kerajaan. Bagi kemudahan untuk anak-anak yang layak masuk sekolah dan pergi universiti.
"Sebab rata-rata penduduk di sini susah. Kalau macam keluarga saya pendapatan RM500, anak pula ada enam orang berusia 12 tahun hingga 11 bulan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Monggorimot.
Viliah yang hanya bersekolah sehingga Tahun Enam berkata, keadaan hidup keluarganya yang sering berpindah menyebabkan dia tidak sempat meneruskan persekolahan ke peringkat menengah.
"Kami berpindah randah dan hanya tinggal di kebun. Jadi saya belajar setakat Tahun Enam. Mungkin sebab keadaan keluarga yang susah.
"Keadaan masa itu menyebabkan bukan saja mahu masuk universiti, masuk sekolah menengah pun memang susah," katanya.
Kini, kehidupan keluarganya tidak jauh berbeza selepas 30 tahun dan dia sendiri hanya bergantung dengan hasil memotong getah yang tidak menentu.
"Getah sekarang pun baru berapa, hanya boleh dapat RM100 lebih. Kalau satu bulan pengeluaran, saya buat dalam dua karung saja. Paling banyak RM300.
"Suami pun kerja tidak tentu, kadang-kadang dia ambil upah buat rumah. Kalau tiada yang panggil memang tiadalah pendapatan," katanya.
Viliah berkata, dengan pendapatan sebegitu, keluarganya banyak bergantung kepada tanaman sendiri seperti padi dan sayur-sayuran selain mencari ikan di sungai.
"Bantuan RM100 dalam MyKad, bolehlah tampung sikit-sikit untuk beli pampers anak, sabun dan yang hanya boleh didapati di kedai," katanya.
Bercerita lanjut, Viliah berkata, disebabkan kekangan kewangan membuatkan urusan kesihatan juga mencabar, khususnya untuk ke hospital di Keningau yang jauhnya sehingga 100 kilometer dan sudah tentu memerlukan kos pengangkutan tambahan.
"Turun pergi Pekan Keningau hanya untuk pergi bersalin di hospital saja. Itu pun cuma pergi balik.. kalau datang awal, mahu tidur di mana? Daripada tidur di hotel, lebih baik fikir untuk bayar hospital, makan lagi, anak lagi," katanya.
Kisah Viliah mencerminkan nasib ramai ibu bapa di luar bandar Sabah yang bergelut antara mencari rezeki, menyediakan pendidikan asas untuk anak-anak dan menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Di saat manifesto parti-parti politik menawarkan pembangunan besar, peluang pekerjaan dan penyelesaian isu asas, rakyat seperti Viliah hanya berharap satu perkara iaitu peluang pendidikan yang lebih baik agar generasi seterusnya tidak mewarisi kitaran kemiskinan yang sama.