Mangsa banjir berat hati pindah ke PPS, bimbang ada 'benda' tak diundang'

Iklan
Hujan lebat sejak jam 8 malam Ahad mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam ditenggelami air. Foto: Awani

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mangsa banjir di Padang Jawa di sini berat hati untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atas faktor keselamatan kediaman.

Tinjauan Astro Awani sejak jam 6 petang menunjukkan orang ramai masih tinggal di kediaman mereka yang telah ditenggelami air.

Iklan
Iklan

Seorang pesara yang hanya mahu dikenali dengan nama Abdul Rahman menjelaskan, hasrat hatinya mahu tinggal di PPS namun khuatir sekiranya ada pihak yang mengambil kesempatan ketika insiden banjir berlaku.

“Saya rasa, perlu juga pergi ke PPS tetapi memandangkan jika saya pergi PPS rumah akan kosong dan mungkin terjadi perkara yang tak diingini. Ada ‘benda’ yang tidak diundang akan datang dan ambil kesempatan,” katanya.

Iklan

Abdul Rahman turut menggesa agar pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil langkah segera agar insiden banjir yang seolah-olah menjadi acara tahunan tidak berulang.

“Saya harap pihak berwajib perbaiki longkang dan lorong dan saya rasa penduduk Padang Jawa perlukan longkang yang berfungsi,” katanya.

Iklan

Ditanya mengenai barang yang sempat diselamatkan menurutnya kebanyakan dokumen-dokumen penting dan pakaian ahli keluarganya antara yang tenggelam pada banjir kali ini.

Dalam pada itu, penduduk, Rozamini Osman menjelaskan, hanya barangan penting seperti dokumen, al-Quran dan buku-buku sempat diselamatkan di kediamannya dengan menggunakan kolam kanak-kanak.

Beliau turut menyatakan keengganan untuk pindah ke PPS dalam masa terdekat atas faktor yang sama.

“Sepanjang musibah banjir saya tidak pernah tinggal di PPS, kita takut sebab waktu banjir ramai orang ambil kesempatan…saya tinggal sahaja di sini untuk pantau,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid berharap penduduk berpindah ke PPS.

“Kalau boleh daftar PPS sama ada nak pergi atau tidak agar, kita tahu jumlah mangsa yang terkesan agar pihak berwajib dapat memberi bantuan sewajarnya dan mencukupi,” katanya.

Menurut Danial, terdapat 290 orang daripada 60 keluarga sudah mendaftar dan tinggal di PPS Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 di sini.

Hujan lebat sejak jam 8 malam Ahad mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam ditenggelami air. - Awani