Tebing alur runtuh, keselamatan lebih 1,000 penduduk terancam

Iklan
Fauzi menunjukkan lokasi runtuhan yang dibimbangi boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya serta penduduk. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Keselamatan lebih 1,000 penduduk di Jalan Kubur Maras, Kampung Langgar di sini terancam apabila tebing alur di kawasan itu runtuh akibat hujan lebat pada Ahad

Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati tebing alur tersebut hanya terletak 50 meter dari rumah penduduk dan dikatakan baru sahaja dibaik pulih kira-kira sebulan lalu.

Iklan
Iklan

Penduduk, Suhaili Abdullah, 49, berkata, masalah itu sering berlaku terutamanya pada musim tengkujuh kerana air yang melalui alur berkenaan sangat deras.

“Ia baharu dibaiki tidak sampai sebulan, tetapi sudah runtuh kembali. Apabila hujan lebat, air akan melimpah sehingga memasuki kawasan rumah, terutamanya rumah-rumah yang rendah,” katanya.

Iklan

Lebih 1,000 penduduk di Jalan Kubur Maras, Kampung Langgar di Kota Bharu berdepan ancaman keselamatan apabila tebing alur di sini runtuh akibat hujan lebat. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Menurutnya, keadaan lebih berbahaya pada waktu malam kerana kawasan itu merupakan laluan alternatif ke Jalan Pekeliling dari Bayam.

Iklan

Seorang lagi penduduk, Fauzi Ismail, 67, berkata, perkara yang paling membimbangkannya ialah apabila motosikal berselisih dengan kereta atau lori di laluan berdekatan alur tersebut.

Katanya, keadaan sekarang juga boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak, terutamanya apabila air alur melimpah akibat hujan lebat.

“Masalah ini sudah berlarutan lama. Kami berharap pihak berkaitan dapat memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikannya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim memaklumkan, beliau sudah beberapa kali turun padang melihat sendiri runtuhan yang berlaku di kawasan berkenaan.

Katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut.

“Saya berharap tindakan segera dapat dilakukan kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk,” katanya.