DANOK – Enam laluan dari Hatyai menuju ke sempadan Malaysia–Thailand dilaporkan dinaiki air lebih satu meter sehingga dipercayai jentera berat seperti lori juga tidak dapat melepasi kawasan itu.
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, lapan PBS yang menyertai misi bantuan bagi membantu rakyat Malaysia pulang juga terpaksa berhenti di Danok berikutan situasi tersebut.
Menurutnya, jalan utama dari Hatyai menuju ke Sadao ditenggelami air sehingga menyukarkan pergerakan masuk untuk melaksanakan misi menyelamat.
“Kami dimaklumkan bukan satu laluan sahaja yang terjejas, malah terdapat lima lagi laluan lain yang turut ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Tambahnya, misi tersebut yang turut disertai PBS dari Johor, Perak, Selangor dan Kedah kini sedang berkumpul di Danok bagi mendapatkan maklumat rasmi terkini.
“Setakat ini, kami menerima laporan bahawa banyak lori juga terkandas, dengan keadaan cuaca yang masih tidak menentu dan hujan masih berterusan.
“Keadaan di sini sukar dijangka kerana paras air yang sebelum ini menurun sedikit, kini kembali meningkat lebih tinggi daripada sebelumnya.
“Perjalanan menggunakan bot dari Sadao ke Hatyai pula mengambil masa antara tiga hingga empat jam dan jarak yang jauh serta keadaan tidak stabil menyebabkan kaedah itu tidak sesuai buat masa ini.
“Kami sentiasa bersedia dan akan meneruskan perjalanan sebaik sahaja paras air menurun. Buat masa ini, kami hanya boleh menunggu arahan terkini daripada pihak berkuasa Thailand,” jelasnya.
Beliau dalam masa sama menasihati rakyat Malaysia yang terkandas agar tidak tergesa-gesa menaiki lori atau kenderaan lain untuk meninggalkan kawasan banjir, sebaliknya mematuhi arahan pihak berkuasa Thailand memandangkan banyak laluan masih terjejas.
“Pelancong Malaysia yang terkandas di sini dinasihatkan agar tidak panik dan tidak cuba pulang sendiri bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Sebaiknya tunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa,” katanya.