GEORGE TOWN - Tiga pengarah sebuah syarikat makanan Timur Tengah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 2 di sini di atas pertuduhan gagal mengemukakan dokumen yang diminta oleh pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Isnin.
Nooraishah Hazis, 56, Mohd Zamberi Mohd Soriji, 53, dan lelaki Syria, Mahmoud Sheikh Albasatna, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka iaitu pengarah syarikat Alshhba Group Sdn Bhd didakwa telah gagal mengemukakan dokumen yang diminta oleh pegawai kastam mengikut Seksyen 57(2) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
Sementara itu, Nooraishah yang mewakili syarikat sama turut menghadapi pertuduhan yang sama namun dia turut mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan tersebut.
Mereka dituduh gagal mengemukakan tiga dokumen iaitu laporan audit tahunan, lejer am dan invois jualan kepada pegawai JKDM selama setahun untuk dijalankan proses audit.
Oleh demikian, mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 57 (4)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 79 Akta yang sama.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Cawangan Audit Import dan SST, Bahagian Pematuhan, Kompleks Kastam Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah pada 1 Mei lalu.
Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Mohd Safwan Fathy Yahaya manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes ditangguh sehingga 19 Januari tahun hadapan untuk sebutan semula.